CIBFM, IRTI adakan seminar kewangan Islam

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Bagi memberikan peluang kepada para peserta untuk berinteraksi dan belajar dengan lebih terperinci mengenai peraturan-peraturan, konsep, kesan dan piawaian pasaran modal Islam, Pusat Perbankan Islam, Kewangan dan Pengurusan (CIBFM) dan Institut Penyelidikan dan Latihan Islam (IRTI), hari ini, telah mengadakan seminar bertajuk ‘Islamic Capital Market Masterclass’.

Seminar turut mendapat sokongan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) itu diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong dan telah dihadiri oleh seramai 31 orang peserta yang terdiri daripada para pengawal selia, penasihat-penasihat syariah, peguam, ahli-ahli industri kewangan dan ahli-ahli akademik.

Antara topik yang dibincangkan termasuklah mengenai alat pengumpulan harta seperti zakat dan wakaf, impak Basel III kepada produk kewangan Islam dan template International Islamic Financial Market (IIFM) dan ‘waqf-linked sukuk’.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan CIBFM, Masterclass berkenaan juga merupakan kerjasama CIBFM dan IRTI yang pertama sejak penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak, baru-baru ini. Matlamat MoU tersebut adalah untuk meningkatkan tahap pakar kewangan dan mengembangkan kewangan Islam melalui usaha sama dalam penyelidikan, bengkel dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian.

IRTI yang berpusat di Jeddah, Arab Saudi, merupakan ahli kepada Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IsDB). Antara tanggungjawab IRTI ialah untuk menerajui pembangunan dan pelestarian industri perkhidmatan kewangan Islam yang dinamik dan komprehensif untuk mendokong perkembangan sosioekonomi negara-negara ahli yang lain.

IsDB ialah sebuah institusi pembangunan kewangan multilateral yang beroperasi di Jeddah, Arab Saudi dan mempunyai 57 buah negara ahli termasuk Negara Brunei Darussalam.

Seramai 31 orang peserta yang terdiri daripada pengawal selia, penasihat-penasihat syariah, peguam, ahli-ahli industri kewangan dan ahli-ahli akademik menghadiri seminar tersebut.