CIBFM kini dikenali BILIF

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 FEB – Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM) mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila melancarkan penjenamaan semula CIBFM hari ini, yang kini dikenali sebagai Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF).

Sehubungan itu, majlis pelancaran penjenamaan BILIF telah diadakan di Tarindak D’Seni di ibu negara, dihadiri tetamu kehormat majlis, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD).

Turut hadir semasa acara itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, ahli-ahli Lembaga Pengarah AMBD, ahli-ahli Lembaga Pengarah BILIF, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif BILIF, pegawai-pegawai kanan dari AMBD, wakil-wakil dari agensi-agensi kerajaan, industri kewangan dan syarikat-syarikat swasta.

Majlis turut menyaksikan pelancaran logo serta video korporat BILIF yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin sebelum diteruskan dengan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) dengan Singapore Management University (SMU) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Menandatangani bagi pihak BILIF ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BILIF, Hajah Sufinah binti Haji Sahat sambil disaksikan oleh Pengarah Urusan AMBD selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BILIF, Hajah Rokiah binti Haji Badar.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri bersama tetamu lain pada majlis pelancaran tersebut.
Hajah Sufinah dan Profesor Ahmed Masood Khalid menandatangani perjanjian pada majlis yang berlangsung di Tarindak D’Seni di ibu negara.

Sementara itu menandatangani bagi pihak UBD ialah Dekan UBD School of Business and Economics, Profesor Ahmed Masood Khalid sambil disaksikan oleh Penolong Naib Canselor UBD, Pengiran Dr Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra. Manakala SMU diwakili oleh pengarah eksekutifnya, Eddie Tritton.

Majlis turut menyaksikan pembentangan khas bertajuk Envisioning Brunei as an Islamic Finance Hub yang disampaikan oleh pensyarah di UBD School of Business and Economics,Dr Haji Mohd Hairul Azrin bin Haji Besar.

Terdahulu, Hajah Rokiah dalam ucapan beliau pada majlis tersebut telah menekankan peranan BILIF dalam mengatasi jurang kemahiran dan menyediakan peluang peningkatan dan keterampilan semula bukan sahaja bagi industri kewangan malahan sektor swasta dan awam.

Beliau turut menyatakan bahawa BILIF akan terus berusaha meningkatkan bakat tempatan, sesuai dengan visinya untuk mewujudkan pakar-pakar industri yang intelek dan berkemahiran tinggi terutamanya dalam industri kewangan Islam.

Sementara itu, Hajah Sufinah dalam ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut antara lain menjelaskan menuju ke arah penjenamaan semula ini, mereka sungguh komited untuk terus mengejar kecemerlangan dan merealisasikan visi mereka untuk dunia profesional terkemuka dalam industri yang dilengkapi dengan intelek dan wawasan yang tinggi, terutama dalam bidang kewangan Islam.

Sepanjang perjalanan penjenamaan semula, jelasnya data dikumpulkan daripada penyelidikan dan tinjauan daripada pelanggan dan prospek mereka.

Penyelidikan itu sendiri bermula pada tahun 2019 melalui institusi seperti CIBFM di seluruh dunia dan apabila mereka merasakan bahawa CIBFM telah mendapat banyak kredibiliti terutama di pentas antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia adalah masa yang sesuai bagi mereka untuk bergerak ke hadapan menggunakan nama yang mewakili siapa mereka dan apa yang ingin mereka capai.

Penjenamaan semula ini diperkenalkan untuk lebih mencerminkan kredibiliti dan komitmen organisasi dalam menawarkan program dan acara yang berkualiti tinggi. Misi BILIF adalah untuk membentuk pemimpin, pakar dan pemacu inovasi masa depan dalam bidang kewangan Islam dan kepimpinan melalui program dan acara bertaraf antarabangsa.