CIC, CAMES meterai MoU

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – CIC Environmental Services dan Centre of Advanced Material and Energy Sciences (CAMES) dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), baru-baru ini, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang akan membolehkan usaha-usaha kolaborasi penyelidikan antara industri dan institusi-institusi penyelidikan tempatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan CIC, MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif CIC, Awang Shaiful Arief Dato Abdul Razak dan Penolong Naib Canselor (Inovasi dan Perusahaan) UBD, Profesor Dr Mohammad Ayub Sadiq.

Kenyataan menyatakan, MoU tersebut merupakan komitmen dalam membangunkan inovasi penyelidikan dan perindustrian yang dipimpin orang Brunei.

CIC Environmental Services yang diperbadankan pada 1997 adalah syarikat pengurusan sampah yang khusus dalam pengurusan bahan buangan hidrokarbon dan berbahaya dalam perindustrian di Brunei Darussalam.

Penandatanganan MoU berkenaan meningkatkan lagi komitmen CIC kepada pembangunan tempatan, dengan tenaga kerjanya merangkumi 97 peratus anak tempatan.

CIC berharap bahawa usaha-usaha penyelidikan daripada MoU berkenaan membuahkan hasil dan menyumbang kepada industri-industri dan institusi pendidikan tempatan.

Sementara itu, CAMES yang dibentuk pada 2015 dengan fungsi utama menjalankan penyelidikan dalam bidang tenaga dan bahan-bahan canggih ke arah kehidupan mapan, menyediakan platform bagi para penyelidik dan industri daripada pelbagai bidang untuk bekerjasama menghasilkan idea dan mencari penyelesaian kepada masalah-masalah yang melibatkan tenaga dan bahan-bahan canggih.