KUALA LUMPUR, 15 Jan – Institut Profesional Kewangan Islam Bertauliah (CIIF) melancarkan Kod Etika CIIF dan Standard Tata Laku Profesional (CIIF) bersempena dengan sambutan ulang tahun pertamanya.
Presidennya Datuk Badlisyah Abdul Ghani berkata prinsip-prinsip yang digariskan oleh kod tersebut yang termasuk integriti dan objektiviti adalah setanding dengan kod etika lain yang ditetapkan oleh badan profesional tempatan dan antarabangsa.
“Kod Etika CIIF dan Standard Tata Laku Profesional yang kami lancarkan adalah komponen utama kepada Rangka Kerja Etika CIIF,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata kod dan standard itu juga menjadi rujukan utama bagi golongan profesional serta orang awam tentang prinsip-prinsip etika dan standard tata laku yang diharapkan daripada pengamal kewangan Islam.
Badlisyah berkata meskipun kod dan standard itu terikat kepada ahli-ahli CIIF, pihak-pihak lain yang berminat dengan kewangan Islam dialu-alukan untuk menjadikannya sebagai rujukan mereka.
“Kod dan Standard CIIF melengkapkan garis panduan yang diguna pakai dalam industri kewangan Islam ketika ini. Ia juga memberi penekanan kepada pematuhan terhadap prinsip Syariah, menjadi asas amalan kewangan Islam,” katanya.
Beliau berkata perkaitan antara Syariah dan prinsip-prinsip yang termaktub dalam kod dan standard itu juga menandakan keperluan bagi profesional untuk berperikemanusiaan dan berempati dalam memenuhi tugas dan tanggungjawab mereka.
“Ini memberikan kod dan standard itu dimensi tokokan dan unik berbanding kod dan standard lain sepertinya,” katanya.
Beliau berkata ketika ini CIIF sedang mengusahakan Buku Panduan Ahli-ahli CIIF yang akan menjelaskan lebih lanjut lagi mengenai nilai-nilai dan prinsip panduan ini yang akan diperkenalkan lewat tahun ini. – Bernama
































