Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah menjadi tuan rumah bagi Persidangan Antarabangsa 5th Computational Intelligence in Information Systems (CIIS 2022) anjuran Sekolah Pengkomputeran dan Informatik (SCI).
Persidangan menerusi platform Zoom yang diadakan selama tiga hari dan berakhir esok itu telah dihadiri oleh tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad yang juga merasmikan pembukaan persidangan.
Majlis dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman selaku pengerusi kehormat dan Penasihat CIIS 2022.
Ia seterusnya disusuli de-ngan ucapan daripada Ketua Penasihat dan Pemangku Pengarah Eksekutif, Projek Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) untuk ASEAN University Network / Southeast Asia Engineering Education Development Network (AUN/SEED-Net).
Persidangan tersebut turut menyaksikan pembentangan dua ucaptama. Ucaptama pertama berjudul Virtual Citizen for Border Crossing Control yang disampaikan oleh Profesor Abdullah Gani dari Universiti Malaysia Sarawak di mana beliau membincangkan konsep Virtual Citizen dan seni binanya dalam menangani isu kawalan lintasan sempadan dengan dipengerusikan oleh Dekan SCI, UTB, Dr Haji Sharul Tazrajiman bin Haji Tajuddin.
Manakala ucaptama kedua pula dibentangkan oleh Profesor Miura Jun dari Toyahashi University of Technology, Jepun dengan judulnya Dataset Issues in Applying Deep Learning to Robotics di mana beliau membincangkan percubaan untuk menyelesaikan isu set data teknologi Deep Learning (DL) dengan dipengerusikan oleh Penolong Dekan SCI, Dr Ravi Kumar Patchmuthu.
Majlis diakhiri dengan sesi promosi oleh AUN-SEED-Net yang dipimpin oleh Pegawai Projek Kanan, Projek JICA untuk AUN/SEED-Net, Sarunphak Kittivorapoom.
Persidangan CIIS 2022 turut menampilkan penceramah terkemuka dalam bidang berkenaan antaranya terdiri daripada Profesor Ts Dr Zuriati Ahmad Zukarnain dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia, di mana beliau membincangkan mengenai Security and Privacy in Cloud-Based E-Health System.
Dalam pembentangannya, beliau menyentuh perihal peningkatan permintaan untuk pengkomputeran awan dan definisi-definisinya, teknologi yang digunakan secara meluas dalam penjagaan kesihatan, sebarang kemungkinan masalah yang dihadapi, dan cara mekanisme perlindungan disusun dan disediakan apabila syarikat memilih bagi melaksanakan model perkhidmatan terkini yang sedang berkembang.
Sementara itu, pembentangan esok akan menampilkan Profesor Joarder Kamruzzaman dari Federation University Australia dengan kertas kerja Machine Learning in Cyber-Security Application.
Tahun ini, kira-kira 35 penyerahan dari beberapa buah negara termasuk Brunei, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Australia telah diterima. Selepas proses semakan yang rapi, hanya 24 kertas kerja diterima untuk dibentangkan pada persidangan tersebut.
CIIS tahun ini telah menerima tajaan dari Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan penaja lain termasuklah AUN/SEED-Net JICA, Datastream Digital Sdn Bhd (DST), dan AP Solution.