CIMB Bank raih pengiktirafan

KUALA LUMPUR, 10 Okt – CIMB Bank Bhd baru-baru ini berjaya merangkul Anugerah Pengubah Digital Terbaik tahun ini pada acara Sidang Kemuncak dan Anugerah IDC DX 2018 Malaysia.

IDC DX itu mengiktiraf organisasi yang terbukti berjaya mencatat perubahan ketara terhadap pasaran atau melalui transformasi menggunakan digital dan teknologi.

Selain itu, Axiata Digital eCode Sdn Bhd, KPJ Healthcare Bhd, Hong Leong Bank Bhd, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Air Asia Group Bhd dan Astro Malaysia Holdings Bhd masing-masing memenangi anugerah Pengubah Digital, Pemimpin DX, Pembawa Perubahan Pengalaman Omni, Pembawa Perubahan Pengalaman, Kepimpinan Informasi, Pakar Model Operasi dan Pemacu Bakat.

“Kesemua barisan pemenang itu tersendiri dari segi kecemerlangan dalam usaha transformasi digital (DX) yang mengubah pasaran,” kata IDC dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan IDC ASEAN, Sudev Bangah berkata barisan pemenang tahun ini berjaya membuktikan bahawa semua industri kini mengutamakan transformasi digital kerana menyedari manfaat serta potensi teknologi digital berkenaan.

“Teknologi mempertingkat ekosistem perniagaan dan akan terus berperanan penting dalam ekonomi sesebuah negara. Malah pembangunan pesat DX di Malaysia akan membolehkan negara ini melahirkan jaguh yang dapat menembusi pasaran global,” katanya.

Menurutnya, untuk kekal kompetitif, syarikat Malaysia perlu pantas menyesuaikan diri dengan keupayaan teknologi yang mampu mengubah kaedah perniagaan selain meningkatkan kecekapan. – Bernama