KUALA LUMPUR, 9 April – CIMB-Principal Asset Management Bhd mengumumkan pecahan unit 2:5 untuk pemegang unit sedia ada bagi Dana Global Titans CIMB-Principal pada 11 April 2017, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pelabur akan menerima dua unit baharu bagi setiap lima unit yang dipegang, di samping mengekalkan nilai pegangan keseluruhan sebelum dan selepas pecahan tersebut, kata CIMB-Principal.
Sejak diwujudkan pada 2005, dana tersebut telah menunjukkan prestasi yang konsisten serta peningkatan kukuh dalam nilai untuk pelabur.
Setakat 20 Mac 2017, ia telah mencatat jumlah pulangan 106.50 peratus dengan pulangan purata 15.61 peratus setahun.
Saiz dana tersebut ialah RM410.50 juta.
Dana berkenaan ialah dana ekuiti yang melabur dalam syarikat bersaiz besar di AS, Eropah dan Jepun dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana dan panjang.
Peruntukan aset dibuat berdasarkan data makro ekonomi, trend kecairan serta prospek untuk setiap rantau tertentu.
CIMB-Principal baru-baru ini mengumumkan pengagihan berjumlah RM114 juta untuk 40 dananya pada suku pertama tahun ini.
Selain itu, CIMB-Principal telah mengumumkan pengagihan untuk empat lagi dananya pada April 2017, iaitu 4.45 sen seunit untuk Dana Sukuk Dipertingkat
CIMB Islamic, 5.0 sen untuk Dana Global Titans CIMB-Principal, 6.5 sen untuk Dana Sukuk CIMB Islamic serta 4.75 sen untuk Dana Jumlah Pulangan Bon CIMB-Principal.
CIMB-Principal mempunyai 72 dana (termasuk dana unit amanah, dana borong dan dana pertukaran diniaga) dan 10 dana persaraan swasta.
Setakat 31 Disember 2016, CIMB-Principal Group mempunyai RM67.6 bilion aset di bawah pengurusannya. Untuk kali kedua, ia dianugerahkan Syarikat Dana Terbaik di Malaysia oleh AsianInvestor bagi Anugerah Pengurusan Aset 2017.
Pengiktirafan industri itu mencerminkan kejayaan CIMB-Principal meningkatkan keupayaan pelaburan di samping mencatat rekod kejayaan mantap dalam memperoleh kepercayaan pelanggan.
Awal tahun ini, CIMB-Principal memenangi Anugerah Dana Edge-Thomson Reuters Lipper Malaysia 2017 untuk Ekuiti Terbaik Asia Pasifik selain Jepun dan Ekuiti Terbaik Asia Pasifik selain Jepun (Islam) bagi kategori lima tahun. – Bernama