Cincin suasa: Bolehkah dipakai oleh lelaki?

Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

Orang lelaki sunat memakai cincin daripada perak kerana Rasullullah pernah memakainya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a., bahawasanya beliau berkata yang maksudnya:

Cincin Rasulullah seluruhnya diperbuat daripada perak, batu matanya pun daripada perak. (Hadis riwayat Abu Daud)

Selain cincin daripada perak ini dipakai orang lelaki, cincin emas suasa juga masih menjadi kegemaran sebahagian yang lain. Persoalannya bolehkah orang lelaki memakai cincin suasa ini?

Ramai orang lelaki beranggapan bahawa memakai cincin suasa tidak haram, kerana cincin suasa ini tidak lagi dianggap seperti cincin emas tulen sebagaimana yang diharamkan.

Perlu diingat bahawa cincin emas itu haram dipakai oleh orang lelaki, sama ada emas yang ada pada cincin itu sedikit ataupun banyak.

Cincin emas suasa adalah haram dipakai oleh orang lelaki kerana terdapat padanya emas walaupun sedikit. – Agensi

Tidak kira sama ada melalui proses penyalutan (plating) seperti cincin gold plated dan proses pengaloian bahan emas bersama bahan yang lain seperti cincin suasa.

Pengharaman ini jelas sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abu Thalib r.a. yang maksudnya:

Rasulullah telah melarang aku daripada memakai cincin emas. (Hadis riwayat Muslim)

Rasullullah mengibaratkan seseorang yang memakai cincin emas itu adalah seperti meletakkan bara api neraka ke tangannya sendiri sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a. menyebutkan bahawa Rasulullah telah melihat sebentuk cincin emas di tangan seorang lelaki, lalu Baginda mencabutnya dan melontarkannya sambil bersabda yang maksudnya:

(Adakah) seseorang daripada kamu sengaja (mahu) mengambil bara api daripada neraka lalu meletakkannya (api itu) di tangannya. (Hadis riwayat Muslim)

Nash pengharaman emas bagi orang lelaki sama ada sedikit ataupun banyak disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitab al-Majmu’:

“Ulama dalam mazhab kita (mazhab Syaf’i) juga sepakat mengharamkan pemakaiannya (emas) sama ada sedikit atau banyak sebagaimana telah disebutkan oleh penyusun (kitab al-Muhadzdzab, Imam asy-Syiradzi Rahimahullah).

Sekiranya cincin itu diperbuat daripada perak dan padanya terdapat sebutir logam yang diperbuat daripada emas ataupun sebentuk cincin (yang diperbuat daripada emas) haram ia digunakan secara sepakat oleh para ulama.

Allahyarham Yang Dimuliakan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz menyebutkan dalam fatwa beliau: “Haram atas lelaki memakai barang-barang kemas daripada emas suasa kerana emas suasa itu suatu logam yang terjadi daripada emas dan suasa.”

Berkata ulama: “Kerana warna yang ada pada suasa itu warna kuning, sekalipun sedikit pada pandangan padanya, tetapi warna kuning itu tiada sepenuhnya bahkan warna kuning bercampur dan bersulam dengan warna merah dan ada khuyala’ pada memakai suasa seperti ada khuyala’ pada memakai emas.”

Dari itu jelaslah bahawa cincin emas suasa adalah haram dipakai oleh orang lelaki kerana terdapat padanya emas walaupun sedikit.