‘INSYAALLAH jodoh kita panjang hingga ke alam syurga’ Bait bait kata yang keluar dari mulut Qarina masih segar di lembah ingatan ini. Aku hanya mampu redha dengan apa yang telah menimpa ke atas hubu-ngan kami. Manik manik jernih akhinya tumpah di pipi kasar ini jua. Lantas menghilangkan keegoan seorang insan bergelar lelaki. Memori yang ada bersama Qarina hanya akan tinggal kenangan yang tersimpan rapi di dalam diari hidupku kini.
Segalanya bermula..
“Aduh! Sakitlah Zarith,” jerit Qarina dalam nada perlahan tetapi manja mengadu kesakitan setelah dicubit lengannya oleh aku. Bukan apa. Geram sangat dengan lengan tembamnya itu. Aku hanya mengekek ketawa melihat gelagatnya tak ubah seperti anak kecil.
“Alahai kesiannya dia kena cubit dengan orang. Sakit tak sayang?” tanyaku diiringi hamburan ketawa. Tidak menghiraukan langsung dengan keadaan sekeliling yang penuh dengan pelajar. Maklumlah bila menjelma musim final exam memang sesak library kolej. Cuba kalau bukan exam week, kosong sahaja ibarat lagu ‘Kosong’ yang dinyanyikan oleh penyanyi kecil molek Najwa Latif itu. Qarina hanya menjeling tajam sambil mengeluh. Tangannya cuba menggapai gapai lenganku kononnya mahu membalas dendam mahu mencubitku kembali. Aku menangkap tangannya lantas menarik kuat pipi tembam dia yang comel itu. Qarina ketawa lantas berpura pura merajuk. Aku apa lagi cuba memujuk sang kekasih hati. Alangkah indah dan bahagianya hidup kami.
Pepatah dulu pernah berkata panas disangka hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Begitu juga dengan hubungan kami. Selepas setahun lebih berjanji setia, dugaan cuba menembusi dinding keutuhan cinta kami berdua. Bekas kekasih kembali dalam hidupku. Aku akui, bekas kekasih aku itu merupakan kekasih yang paling terbaik bagi aku. Tapi aku telah meletakkan Qarina di tangga teratas carta hati aku kerana cinta Qarina yang begitu setia dan utuh terhadapku. Maka aku sangat menghargai itu. Tetapi entah mengapa hatiku terusik apabila berjumpa dengan bekas kekasih aku itu. Ayu Citra namanya. Seayu orangnya. Dia mempelawa untuk berjumpa dengan aku dan Qarina kerana dia akan menyambung pelajarannya di luar negara. Aku memberitahu tentang hal ini pada Qarina. Seperti yang aku sudah jangka. Qarina seakan akan tidak mahu aku berjumpa dengan Ayu. Qarina mempunyai satu sifat yang aku kurang senang iaitu kuat cemburu dan tidak matang. Bagi aku, usia yang bakal memasuki alam dewasa sepatutnya Qarina boleh berfikiran lebih matang dan positif. Tetapi apa yang aku harapkan tidak ada pada dirinya. Bagi aku Qarina cukup sempurna jika dia lebih matang. Aku mengaku aku suka akan tingkah lakunya yang manja keanak-anakan itu. Tapi adakalanya dia perlu bersifat dewasa. Tidak seperti Ayu Citra. Mungkin kerana faktor usia Ayu Citra yang lebih tua dari kami berdua maka dia lebih nampak matang di mata aku.
Aku berusaha untuk memujuk Qarina dan akhirnya gadis itu mengalah. Kami berjumpa Ayu Citra di Mid Valley Megamall. Kami saling berkongsi kisah lantaran sudah lama tak berjumpa. Aku terperasan Qarina hanya diam membisu kadangkala mengiyakan apa yang kukata. Kasihan pula aku lihat dia kerana aku terlalu ‘sibuk’ berborak dengan Ayu. Aku cuba mengajak Qarina berbual dengan memasukkan topik topik yang digemarinya. Tapi begitu jua lagaknya. Masih diam membisu. Hanya tersenyum. Adakala hanya mengangguk. Melihatkan situasi yang sebegitu, Ayu memohon untuk pulang dulu. Mungkin tidak selesa dengan tingkah yang dipamerkan oleh Qarina. Aku seakan tidak mahu Ayu pulang dulu. Entahlah.
Mungkin rasa rindu menghalang untuk Ayu pulang dulu. Tapi apakan daya. Kekasih hati ada di depan mata takkan mahu menghalang perempuan lain untuk pulang semata mata mengikut rasa rindu itu. Setelah Ayu berjabat tangan dengan Qarina, lantas gadis itu berpaling pergi dari kami berdua. Aku hanya mampu memandang sehingga lenyap bayangan gadis itu. Mungkin terlihat akan riak wajah aku yang menghantar pandangan mata pada Ayu sehingga dia lenyap, Qarina mencapai beg dan terus pergi dari sisiku. Aku seakan terkejut. Rasa marah tadi bercampur dengan geram apabila Qarina meninggalkan aku tanpa sepatah kata. Aku cuba mengejarnya.
Tapi makin laju pula langkahnya. Dia menyelusup masuk ke dalam tandas wanita. Aku menilai sendiri mungkin dia sakit perut agaknya. Rupanya sangkaanku meleset. Qarina keluar dari tandas dengan muka yang sembap, mata yang merah berair. Aku mengagak pasti dia menangis. Rasa bersalah terus menerpa segenap ruang tubuhku. Menyesal dan rasa bersalah membuat cinta hati aku menangis.
Seminggu berlalu dan aku bahagia kembali bersama Qarina. Qarina ada memberitahu bahawa dia akan belajar memandu kereta untuk sebulan ini. Jadi tidak banyak masa yang bakal diluangkan untuk aku. Dalam waktu itu, sekali lagi dugaan datang dalam hubungan kami. Aku sangkakan Ayu sudahpun berada di luar negara rupanya tidak. Dia mengajakku berjumpa. Tapi pertemuan itu hanyalah kami berdua sahaja. Tanpa Qarina!
Petang hujung minggu itu kuhabiskan masa bersama Ayu. Deraian ketawa yang tidak henti sejak kami berjumpa dari tengahari sehingga petang manarik perhatian orang sekeliling. Pasti mereka menyangka kami pasa-ngan yang sedang berbahagia. Walaupun bukan pasangan tapi aku merasakan kebahagiaan itu. Alangkah indah jika aku masih bersama Ayu. Seakan akan terkejut dengan apa yang kurasa. Aku lantas teringat Qarina. Kalaulah Qarina tahu apa yang berlaku sekarang pasti parah jiwa gadis kesayanganku itu.
“Zarith, Ayu nak pergi toilet kejap. Zarith tunggu sini ya. Jangan pergi mana mana tau,” pesan Ayu padaku. Aku hanya mengangguk dan tersenyum. Sedang melihat betapa indahnya ciptaan Allah yang terbentang luas di hadapanku ini. Tiba tiba aku dikejutkan dengan satu suara manja yang acap kali didengari. ‘Ya Allah! Qarina ! Macam mana dia tahu aku ada di sini?’ soalku sendiri dalam hati. Terpercik manik manik peluh di sekitar wajahku akibat terlalu terkejut dan risau.
“Qina tak sangka pulak Zarith ada kat sini. Betul lah kata orang dulu dulu. Kalau kita terasa ingin pergi ke suatu tempat makna-nya ada jodoh kita disitu,” kata-nya sambil tersenyum. Sungguh manis. “Zarith. Nah, tengok ni!” sambung Qarina sambil menayangkan kad lesennya. Aku gembira dia dapat meluluskan diri dalam ujian tersebut. Seakan akan terlupa akan rasa cemasku tadi. Aku mengucapkan tahniah sambil bergurau dengan Qarina.
“Lepas ni Qina boleh bawa Zarith pergi jalan jalan kan,” usikku pada Qarina. “Boleh boleh boleh,” angguk Qarina sambil meniru gaya kartun siri animasi Upin dan Ipin. Terserlah sikap manjanya. Kebahagiaan kami berhenti di situ lantaran Ayu yang sudahpun bersimpuh di sebelah aku. Rasa cemas me-ngundang lagi!
“Eh, Qarina! Bila Qarina datang? Zarith ajak ya?” soalan diajukan pada Qarina yang tidak lepas memandang ke arah aku. “Apa Ayu buat di sini dengan Zarith?” soal Qarina kembali pada Ayu. Aku semakin cemas. Ingin meredakan Qarina. Tidak mungkin. Merah padam kulihat mukanya. Mungkin akibat terlalu geram.
“Oh, Ayu ajak Zarith berkelah di sini.Maklumlah Ayu dah lama tak berborak dengan Zarith. Maaflah sebab tak ajak Qarina. Ayu cuma fikir nak berkelah berdua dengan Zarith. Ayu tak kisah kan?” balas Ayu. Qarina menjeling tajam ke arah aku lantas berdiri membelakangi aku. “Terima kasih Zarith sebab buat Qina macam ni. Qina tak sangka sehebat ini kejujuran yang diberikan oleh Zarith pada Qina,” kata Qarina yang menggamit perasaanku sebelum dia berlalu. Aku cuba berlari mendapatkan Qarina. Nyata langkah Qarina lebih laju dari lari anak ku ini.
“Qarina ! Tunggu dulu. Kita boleh berbincang sayang !” jeritku pada Qarina yang semakin menjauh. ‘Mengapa langkah ini terasa longlai?’ desis hatiku sendiri. Akhirnya aku berhenti mengejar Qarina. Aku mebiarkan sahaja Qarina pergi. ‘Mungkin dia perlukan masa dan bersendiri’ desis hati ini lagi. Hari demi hari berlalu. Minggu demi minggu berlalu. Sebulan sudah aku tidak menghubungi Qarina. Begitu juga sebaliknya. Qarina juga tidak menghubungi bertanyakan khabarku.
‘Rajuk benar Qarina’keluhku sendiri. Aku semakin merindui Qarina. Deraian ketawanya, gelagat manjanya yang comel itu, pipinya yang tembam. Ah! Semua yang berkaitan dengan dirinya sangat aku rindui. Terdetik hati ini mahu berjumpa dengannya. Lantas aku mencapai telefon dan menekan punat punat nombor mendail nombor telefon Qarina. ‘Tiada dalam perkhidmatan. Qina dah tukar nombor ke?’ monologku sendiri. Akibat rindu yang tak tertanggung lagi, aku segera mencapai kunci kereta lalu meluncur laju ke rumahnya yang hanya 45 minit sahaja dari rumahku.
“Zarith, uncle harap Zarith sabar dengan apa yang uncle nak sampaikan ni. Uncle kecewa, uncle ingat Zarith dah tahu apa yang menimpa ke atas Qarina. Qarina koma dan masih tak sedarkan diri lagi. Dia koma masa hari pertama dia mendapat lesen. Uncle rasa bersalah sangat. Sepatutnya Uncle tak payah bagi Qarina guna kereta uncle. Tapi Uncle kesian lihat dia berusaha dengan bersusah payah untuk mendapatkan le-sen memandu jadi uncle bagi dia guna kereta uncle. Katanya hendak ke Port Dickson dulu baru pergi ke hostel untuk berjumpa dengan Zarith. Malang memang tidak berbau Zarith, Qarina hi-lang kawalan semasa masuk ke persimpangan hostel. Akibatnya dia rempuh kereta orang lain. Dia koma dan darahnya semakin kurang. Darahnya sama dengan uncle tapi uncle tak boleh derma sebab uncle ada darah tinggi. Risiko tinggi jika uncle derma darah pada Qarina,” cerita Uncle Afzan yang merupakan ayah dan ahli keluarga yang paling rapat dengan Qarina dengan panjang lebar dan lemah. Aku terpana seketika. Seakan akan tidak dapat menerima apa yang diceritakan oleh Uncle Afzan.
‘Bukan salah uncle tapi salah Zarith. Zarith punca kemalangan Qarina’ keluhku sendiri. “Uncle, boleh saya tahu Qarina ada di hospital mana?” tanyaku pantas. Aku mahu melihat sendiri kondisi cinta hatiku itu. Usai Uncle Afzan memberikan maklumat di mana Qarina ditempatkan. Aku mengambil langkah pantas untuk pergi menziarah dan mencuba untuk menderma darah pada Qarina. Ini kerana, sedarku darah kami berada dalam kelompok yang sama.
Sesampainya aku di hospital, aku terus berlari mencari di mana Qarina ditempatkan. Alhamdulillah, akhirnya jumpa. Perasaan menjadi sebak tatkala melihat wayar perubatan dan saluran pernafasan penuh berselirat di tubuh Qarina. Lantas aku berjumpa dengan doktor yang merawat Qarina dan melakukan pemindahan darah. Ternyata usaha aku berhasil. Pemindahan darah ke dalam tubuh Qarina telah berjaya. Aku hanya mampu bersyukur pada Allah kerana telah memberi peluang ini.
Sehari semalam aku di hospital menemani Qarina. Tidak sedikitpun merasa jemu melihat gadis comel itu walaupun muka cerianya telah menjadi pucat lesi. Tuhan memakbulkan doaku dan keluarga Qarina. Pagi yang hening itu, Qarina sedar dari tidurnya yang panjang. Ya Allah, gembiranya aku hanya Tuhan sahaja yang tahu. Aku meminta beribu kemaafan dari Qarina. Tidak menyangka Qarina memaafkan aku. Suasana dalam wad Qarina sungguh bising dengan deraian ketawa ahli keluarga Qarina yang berborak mesra dengan pujaan hatiku ini. Maklumlah Qarina ‘tidur’ panjang pasti banyak cerita yang ingin disampaikan. Entah kenapa sejak dari tadi aku memerhatikan Qarina, dia seakan akan semakin lemah, matanya semakin lama semakin kuyu. Aku curi curi keluar dan memanggil doktor. Sesampainya aku di wad bersama doktor kulihat Qarina sudah nazak. Deraian ketawa sebentar tadi bertukar menjadi sayu dan suram. Aku duduk di sebelah uncle Afzan membantu uncle Afzan menyampaikan kalimah syahadat di telinga Qarina. Tidak tahan dengan keadaan tersebut akhirnya air mata jantan aku mengalir jua. Dengan tiga kali syahadat yang dilafazkan oleh Qarina akhirnya Qarina menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Peristiwa bersejarah dalam hidupku ini sudah 30 tahun berlalu. Tapi memori yang tercipta antara aku dan Qarina seakan akan baru semalam berlaku. Hidupku kini hanya berhadapan dengan Tuhan. Tidak kuhiraukan langsung hal keduniaan. Matlamat utama sekarang aku ingin beribadat kepada Allah dan mendoakan ketenangan Qarina di alam sana. “Kalau jodoh kita kuat sampai di syurga nanti pun kita akan berjumpa dan berkahwin di sana kalau salah seorang antara kita pergi dulu” Kata kata itu tak akan aku lupakan. Dan itulah yang aku cari. Meyakini jodoh aku dengan kau walau bukan di dunia tapi aku yakin di syurga nanti. Tenanglah kau di sana Qarina. Semoga rohmu dicucuri rahmat. Amin