Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cinta sekadar alasan untuk kikis duit?

    Sejujurnya, ini bukanlah kisah yang mudah untuk dikongsikan, namun saya yakin ramai di luar sana mungkin pernah atau sedang menghadapi pengalaman serupa.

    Saya menyangka hubungan saya dengan pasangan saya berlandaskan cinta yang ikhlas dan jujur.

    Namun, lama-kelamaan, hubungan ini seolah-olah berputar hanya pada satu perkara iaitu wang ringgit.

    Mula-mula, saya ingat dia ni betul-betul sayang. Setiap kali dia minta tolong duit, saya bagi. Katanya, ada bil tertunggak, hutang lama, nak tolong keluarga – semua alasan tu nampak macam betul dan saya pun percaya sajalah.

    Singkat cerita, lama kelamaan saya pun perasan hampir setiap kali kami borak, mesti ada isu ‘duit’ muncul. Macam-macam alasan, tapi saya yang kena tanggung.

    Foto Canva

    Peliknya, apabila saya mula cuba cakap pasal hal ni, dia terus sentap. Dia cakap kalau betul sayang, saya patut tolong dia.

    Dia pandai main perasaan saya, buat saya rasa macam saya ni tak cukup usaha untuk bahagiakan dia. Sedikit demi sedikit, makin banyak saya korban, bukan setakat duit tapi juga maruah diri.

    Sekarang, saya berada di persimpangan. Saya semakin curiga akan ketulusan kasihnya dan berasa seakan diperdaya.

    Wang yang saya berikan sudah tidak terkira jumlahnya, dan rasa hormat saya terhadapnya semakin pudar. Saya tertanya-tanya, adakah hubungan ini tentang cinta atau semata-mata manfaat kewangan?

    Jadi, saya luahkan cerita ni untuk tanya pendapat pembaca semua. Adakah sesiapa pernah rasa macam ni? Macam mana nak tahu bila kita patut berhenti? Betulkah dia boleh berubah, atau saya yang kena buat keputusan?

    Terima kasih kalau ada yang sudi bagi pandangan.

    Khai MN

    NASIHAT DANG MP

    Terima kasih Khai MN kerana berkongsi kisah awda. Situasi yang awda hadapi memang mencabar dan menyedihkan.

    Rasa seperti hubungan yang hanya untuk mendapatkan bantuan kewangan sudah tentu menyebabkan keikhlasan dan kejujuran teman awda diragui.

    Pertama sekali Dang nasihatkan adalah penting untuk mengakui perasaan awda.

    Jika setiap perbualan berakhir dengan isu kewangan, itu mungkin tanda bahawa hubungan ini tidak seimbang.

    Berterus teranglah kepadanya bahawa awda meragui hubungan ini.

    Dapatkan nasihat atau pandangan dari keluarga dan teman-teman yang awda boleh percayai. Kemudian berbincanglah dengan teman awda yang awda mahukan perubahan daripadanya. Berikan jua tempoh sekiranya perlu.

    Sekiranya tiada perubahan positif daripadanya, maka jelaslah bahawa awda tidak dihormati, dihargai dan hanya dipergunakan olehnya sahaja.

    Rasa hormat dan kepercayaan adalah asas cinta yang sejati; jika itu hilang, maka hubungan yang awda pertahankan adalah tidak bermakna dan merugikan awda sahaja.

    Berfikir tentang apa yang awda inginkan dalam hubungan adalah langkah penting. Adakah awda bersedia untuk terus memberi tanpa merasa dihargai? Awda berhak untuk merasa dihormati dan dicintai tanpa syarat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda