CIPTA 2019 cetus kreativiti, inovasi belia

Oleh Ak Zaki Kasharan

Gambar oleh Muiz Matdani & Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Pertandingan Anugerah CIPTA Pengiran Muda Mahkota 2019 telah sampai kemuncaknya dengan majlis penganugerahan yang berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, di sini, hari ini.

Sekali lagi, barisan panel hakim sebulat suara memutuskan tiada pemenang yang layak menerima Piala Anugerah Pengiran Muda Mahkota 2019 yang mana syaratnya ialah projek berkenaan mestilah menyerlah berbanding projek-projek lain dan mempunyai kualiti cemerlang serta projek itu hendaklah mencapai markah keseluruhan sekurang-kurangnya 90 peratus.

Bagi Kategori 1 Ciptaan Produk, Proses atau Teknologi Baharu, dengan tiada pemenang di tempat pertama dan kedua, Projek Water Leakage Detection and Management ciptaan Dr Haji Sharul Tazrajiman bin Haji Tajuddin dan Dayang Nur Hamizah binti Haji Awang Harun telah diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga setelah berjaya meraih 70 peratus.

Sementara itu, Projek Ghusl Stretcher for The Deceased dan Projek Food Processor pula masing-masing berada di tempat keempat dan kelima.

Bagi Kategori 2 Pengubahsuaian Produk, Proses atau Teknologi yang Sedia Ada, tempat pertama dimenangi oleh Awang Sufre bin Haji Muhammad dengan mendapat markah keseluruhan 82 peratus melalui Projek Variable Speed Multi Grits Sander Machine (VSGS).

Che Ku Ahmad Habib dan rakan sepasukannya bergambar bersama piala dan replika cek yang dimenangi dalam Kategori ASEAN Young Inventor tahun ini.
Dr Hajah Noor Maya semasa menyampaikan sembah alu-aluan.

Manakala itu, Projek Eco BN-Waste Management Bin yang mendapat 76 peratus markah telah mendapat tempat kedua di bawah Kategori 3 Ciptaan Baharu atau Pengubahsuaian Produk, Proses atau Teknologi yang Sedia Ada oleh Pencipta/Pereka Muda.

Pertandingan Smart Junior yang dibukakan bagi penuntut Sekolah Menengah Bawah bagi umur 12 hingga 14 tahun pula dijuarai oleh Projek My PenPal – Pen for Dyslexia hasil ciptaan Jordan Hee Shan Yung, Loo Chun Yung dan Sharlaine Tan Qi Jie dari Sekolah Menengah (SM) Chung Ching.

Dengan memperoleh markah keseluruhan 80 peratus, projek Te Rector hasil ciptaan dari SM Kebangsaan Tengku Lela Segara, Marang Terengganu pula telah dinobatkan sebagai pemenang bagi Kategori ASEAN Young Inventor CIPTA 2019.

Ketika ditemui pihak Media Permata pada majlis itu pagi tadi, Awang Sufre melafazkan setinggi-tinggi penghargaan dan kesyukuran atas kemenangan projek ciptaannya.

Sebelum ini, katanya, beliau pernah mengikuti pertandingan berkenaan beberapa kali dan pernah mendapat tempat kedua sebanyak dua kali sebelumnya.

Ujar beliau, minat yang mendalam dalam bidang penciptaan dan mereka teknologi ini membuahkan hasil pada kali ini

apabila projeknya Variable Speed Multi Grits Sander Machine (VSGS) diumumkan sebagai juara dalam Kategori 2.

Beliau menjelaskan, projek VSGS tersebut direka khas bagi menghalusi kayu, aluminium dan besi yang boleh digunakan secara automatik mahu pun manual bagi memudahkan kerja pertukangan para tukang kayu dan tukang besi mengikut ukuran dan bentuk yang dimahukan masing-masing.

Sementara itu. wakil pasukan pencipta projek Te Rector, Che Ku Ahmad Habib bin Che Ku Ahmad Amir berkongsi kepada pihak Media Permata mengenai kelebihan karya yang mereka hasilkan sehingga diangkat menjadi juara bagi Kategori ASEAN Young Inventor tahun ini.

Menurut Che Ku Ahmad Habib, Te Rector merupakan mesin pengering untuk makanan laut bagi membantu pengusaha kecil dan sederhana dalam proses pengeringan produk makanan laut mereka yang dapat membantu menjimatkan masa dan tenaga para pengusaha yang menghadapi masalah seperti hujan dan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Katanya, pasukan mereka tidak menyangka sama sekali untuk memenangi anugerah berkenaan disebabkan ini merupakan kali pertama mereka menyertai pertandingan di luar negara dan berharap agar dapat mencipta lebih teknologi lain lagi pada masa yang akan datang bagi membantu lebih banyak pengusaha dan masyarakat di luar pada masa yang akan datang.