CIPTA 2021 sedia teroka penciptaan teknologi pintar

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Negara kini bergerak ke arah transformasi industri pada skala besar disebabkan kemajuan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) yang menjadi tulang belakang pertumbuhan teknologi meluas yang memfokuskan ke atas pembangunan industri.

Oleh itu, Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2021 akan meneroka inovasi teknologi yang mempunyai visi mengenai bagaimana masyarakat boleh menggunakan teknologi-teknologi digital seperti data analitik, kecerdasan buatan (AI) dan Internet Benda (IoT) serta robotik.

Universiti Teknologi Brunei (UTB) dalam kenyataannya menekankan bahawa teknologi-teknologi berkenaan disebatikan dalam kehidupan seharian untuk menunjukkan sinergi antara manusia dan mesin.

Pengerusi Jawatankuasa Sekretariat Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2021, Dr Hajah Roslynna binti Haji Rosli dipetik menyatakan bahawa ini mempromosikan dimensi manusia mengenai bagaimana teknologi-teknologi pintar berkenaan boleh digunakan secara efisien bagi manfaat manusia.

Oleh yang demikian, penggunaan teknologi yang efektif akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan, dengan itu pendekatan penyelesaian masalah kepada cabaran-cabaran global yang sedang dihadapi.

Beliau berharap Anugerah CIPTA 2021 akan menyaksikan produk-produk dan teknologi kreatif dan inovatif yang akan mengintegrasikan ciri-ciri teknologi berasaskan masyarakat, ekonomi dan IR 4.0.

Seperti pertandingan sebelum ini, CIPTA 2021 mengalu-alukan para peserta daripada semua peringkat tanpa mengira usia dan profesion untuk menunjukkan kepintaran dan bakat mereka.

Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2021 adalah edisi ke-9 pertandingan dwitahunan itu yang dianjurkan oleh UTB dengan kerjasama Brunei LNG Sdn Bhd sebagai penaja utama.

Pertandingan berkenaan akan dilancarkan pada 19 Ogos depan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman di Indera Kayangan, The Empire Brunei.

Trofi Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota yang akan diberikan kepada pencipta inovasi terbaik. – Gambar serahan UTB