CIPTA 2021 sokong tiga matlamat wawasan 2035

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Tahun 2020 membawa bersama norma baharu di mana Society 5.0 yang juga dikenali sebagai masyarakat amat pintar (super smart society) diterajui oleh penumpuan teknologi seperti analisis data, kecerdasan buatan, Internet
of Things dan robotik.

Society 5.0 juga menghubungkan domain dalam dan luar talian bagi menjana sebuah masyarakat yang mendapatkan manfaat untuk keperluan dan kemakmuran manusia daripada eksploitasi teknologi dan inovasi.

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) semasa pandemik COVID-19 di Negara Brunei Darussalam merupakan salah satu contoh bagi perkara itu, jelas Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman ketika berucap pada Pelancaran Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2021 yang berlangsung di Dewan Indera
Kayangan, The Empire Brunei, hari ini.

Beliau menyatakan bahawa CIPTA 2021 yang membawa tema Innovations for Society 5.0, menyokong tiga matlamat utama Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk memupuk penduduk yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, memastikan kualiti kehidupan yang terbaik serta untuk mempunyai ekonomi yang dinamik dan mampan.

CIPTA yang dianjurkan setiap dua tahun sekali oleh Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Brunei LNG, jelasnya lagi, telah menjadi salah satu platform signifikan bagi bakat-bakat kreatif dan inovatif di kalangan belia, pelajar dan individu di negara ini serta negara-negara anggota ASEAN untuk mengetengahkan kepintaran masing-masing.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2021 yang berlangsung di Dewan Indera Ka-yangan, The Empire Brunei, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Dalam hubungan itu, tema bagi Anugerah CIPTA 2021 memberikan peluang di mana ketiga-tiga matlamat Wawasan Brunei 2035 dapat dicapai secara bersatu padu dan berintegrasi menerusi teknologi dan inovasi bagi kebaikan masyarakat.

Mengulas mengenai UTB, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa universiti itu harus mantap dalam strateginya untuk terus mengeluarkan graduan yang kompeten, inovatif dan boleh dipasarkan.

Sehubungan itu, beliau amat senang hati mengetahui bahawa UTB komited dalam menawarkan pelbagai kaedah pembelajaran dan pengajaran termasuk pembelajaran campuran dan dalam talian.

“Apa yang tahun ini mengajar kita adalah institusi pendidikan perlu dinamik dan responsif kepada peristiwa semasa,” ujarnya.

Beliau menekankan bahawa walaupun apa jua yang terjadi, mereka harus tetap menyampaikan pendidikan berkualiti tinggi dan penyelidikan harus tetap menjadi keutamaan bagi UTB.

Pada masa yang sama, institusi-institusi pendidikan tinggi juga perlu terus peka dengan keperluan masyarakat tanpa mengira kelulusan dan usia mereka.

Dalam hubungan itu, Anugerah CIPTA 2021 mengalu-alukan perintis berwawasan dan inovator muda di Negara Brunei Darussalam dan negara-negara anggota ASEAN untuk menyertai pertandingan itu di mana mereka dapat berkongsi serta membina ekosistem teknologi dinamik bagi komuniti ASEAN.