Cipta fesyen maskulin bermodalkan $300

Oleh Nurdiyanah R.

Gambar oleh Muiz Matdani

Sahabat umpama bintang di langit yang mampu bersinar menerangi kehidupan, begitulah juga jalinan persahabatan tiga belia ini yang bersama-sama berjuang meniti liku-liku dunia perniagaan melalui perusahaan kecil dan sederhana berkonsepkan fesyen pakaian maskulin.

Hanya berbekalkan modal lebih kurang $300, ketiga-tiganya, Awang Muhammad Muhammad Zulfadli @ Ahmad Wa’ie Zulfadli bin Haji Waliuddin, Haji Mohammad Farkhan bin Haji Johan dan Awang Mohammad Alizam bin Zainal bertekad memulakan perniagaan fesyen ‘made to measure’ khusus bagi kaum Adam semua peringkat umur semenjak 2018 lagi di bawah jenama Teluk Belanga Begawan.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, itulah perumpamaan yang sentiasa bersemadi di dalam fikiran mereka yang sememangnya mempunyai jiwa yang kental dalam mengorak langkah menjejaki dunia perniagaan dengan penuh yakin tanpa keraguan.

“Idea memulakan rekaan fesyen kaum Adam ini tercetus apabila segelintir rakan, ahli keluarga dan saudara mara mula tertarik dan bertanya mengenai pakaian yang kami peragakan dengan rekaan khas berkonsepkan jenis teluk belanga.

“Disebabkan sambutan yang amat menggalakkan itu, kami mencuba nasib demi menghasilkan pendapatan sampingan dalam menjalankan kehidupan sehari-hari,” kata pengasas dan pemilik syarikat dengan nama sama jenama pakaian itu, Awang Muhammad Zulfadli dan dua lagi rakannya semasa ditemui penulis dan rakan Media Permata di salah sebuah butik di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba, Gadong, baru-baru ini.

Awang Mohammad Alizam (kiri), Awang Muhammad Zulfadli (tengah) dan Haji Mohammad Farkhan selaku pemilik dan pengasas bersama Syarikat Teluk Belanga Begawan semasa ditemui penulis di salah sebuah butik milik mereka di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba, Gadong, baru-baru ini.
ATAS & BAWAH: Bukan mudah untuk berkecimpung dalam dunia serba kompetitif ini jika tiada kecekalan hati dan semangat yang kuat namun ketiga-tiga usahawan ini yakin bahawa sifat saling melengkapi antara satu sama lain dalam menjalankan perniagaan, merupakan salah satu faktor utama berdirinya mereka dalam bidang keusahawanan sehingga kini. – Gambar serahan Awang Muhammad Zulfadli

Antara fabrik yang memiliki pelbagai corak dan warna yang sangat eksklusif di butik berkenaan.

Sentuhan tradisional dan moden

Menariknya, bentuk leher teluk belanga dengan pelbagai fabrik yang eksklusif, corak dan warna, adalah antara keistimewaan yang menjadi ciri khas seni rekaan yang tiga usahawan belia ini ketengahkan.

“Nilai kreativiti amat penting dalam menghasilkan sesuatu karya. Dalam mencipta sesebuah seni rekaan pakaian perlulah mempunyai gaya dan corak serta keistimewaan yang tersendiri agar keunikannya tetap terserlah. Penciptaan fesyen pakaian lelaki yang kami tampilkan ini sememangnya amat sesuai dipakai semasa majlis formal dan tidak formal dengan berkonsepkan nilai tradisional dan moden,” jelas Haji Mohammad Farkhan yang juga semakin giat mengetengahkan rekaan fesyen terbaharu hasil cetusan idea bersama dua orang sahabat karibnya itu dari semasa ke semasa.

Saling melengkapi faktor utama

Bukan mudah untuk berkecimpung dalam dunia serba kompetitif ini jika tiada memiliki kecekalan hati dan semangat yang kuat.

Namun Awang Muhammad Zulfadli yakin bahawa dengan menerapkan sifat saling melengkapi antara satu sama lain dalam menjalankan perniagaan ini adalah salah satu faktor utama berdirinya mereka dalam bidang keusahawanan sehingga kini.

“Saya sendiri berfungsi sebagai ahli yang bertanggungjawab dalam perhubungan awam iaitu berkomunikasi dengan pelanggan, di samping menjalankan promosi jualan di media sosial. Selain itu, saya juga bertanggungjawab menyukat ukuran badan pelanggan,” jelasnya lagi.

Manakala Haji Mohammad Farkhan menjelaskan bahawa segala hal ehwal kawalan kualiti dan kreativiti produk di syarikat menjadi tanggungjawab beliau.

Di samping itu, Awang Mohammad Alizam pula bertanggungjawab dalam bidang pembungkusan dengan menulis nama pelanggan dan ayat-ayat secara ‘handmade’ bagi setiap kotak pembelian pakaian dan beliau juga bertugas sebagai jurugambar syarikat berkenaan.

Kejar impian secara positif

Ketiga-tiga usahawan belia ini bersepakat menyarankan kepada masyarakat luar khususnya golongan belia agar sentiasa berusaha bersungguh-sungguh bagi merealisasikan apa yang diimpikan selama ini menjadi kenyataan.

“Kuatkan semangat dan jangan mudah berputus asa itulah kunci segala-galanya. Walaupun kita mempunyai kekurangan dari segi kesihatan, fizikal atau kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan dengan agensi-agensi tertentu, ia bukanlah penghalang untuk kita memajukan diri,” tekannya.

Ini seperti yang telah dilalui oleh Awang Muhammad Zulfadli sendiri yang kini sedang menjalani rawatan di rumah sakit di negara ini dan juga luar negara kerana mengalami penyakit yang sudah dialaminya sejak bulan Disember 2016 lalu.

Tetapi ia tidak melemahkan semangat beliau dan dua rakan yang lain untuk terus bangun dan memajukan diri demi berjuang untuk memperolehi rezeki yang halal dan membantu ahli keluarga.

“Dengan akal fikiran yang dianug-erahkan oleh Allah SWT maka gunakanlah ia dengan sebaik-baiknya. Apa yang penting sikap berdikari itu mestilah disemai dalam diri agar segala usaha kita sentiasa dalam kerahmatanNya,” ujar mereka dengan penuh ketulusan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata.