Cipta helikopter elak kesesakan lalu lintas

JAKARTA, 28 NOV – Kerana tidak tahan dengan kesesakan lalu lintas yang teruk di Indonesia, seorang lelaki membuat keputusan untuk membina helikopternya sendiri bagi mengharungi masalah itu.

Jujun Junaedi, 42, dari Sukabumi, Jawa Barat meluangkan masa lapangnya di kawasan belakang rumah untuk merealisasikan ideanya berpandukan video pembelajaran.

“Ia sangat mengecewakan. Anda kehabisan petrol dan membuang masa. Akhirnya anda tidak tahu hendak ke mana,” katanya menceritakan tentang kesesakan di selatan ibu negara Jakarta yang boleh mencapai 110km.

Sejak memulakan pembinaan helikopter 18 bulan lalu, Junaedi telah membelanjakan kira-kira AS$2,100 untuk membeli komponen dan barangan terpakai dari kedai membaiki kereta.

Turut membantunya membina helikopter setinggi 8 meter itu ialah anak lelakinya dan beberapa orang jiran.

“Asalkan ia boleh terbang, saya sudah cukup puas hati,” kata Junaedi.

Junaedi bukanlah orang pertama yang cuba membina sebuah pesawat kerana dua tahun lalu seorang lelaki dari Afrika Selatan menggunakan kepingan besi dan sekerap untuk menghasilkan sebuah replika helikopter polis. – AFP

Jujun Junaedi bersama anak dan jirannya mempersiapkan helikopter dibinanya sendiri dengan menggunakan bahan terpakai. – AFP