ABUJA – Seorang remaja Nigeria berusia 15 tahun telah mencipta Rekod Dunia Guinness untuk kanvas seni terbesar di dunia bagi meningkatkan kesedaran tentang autisme.
Kanyeyachukwu Tagbo-Okeke, yang menghidap autisme, menghasilkan sebuah lukisan yang memaparkan reben pelbagai warna simbol autisme yang dikelilingi oleh emoji, dengan keluasan 12,304 meter persegi. Ukuran itu jauh lebih besar daripada padang bola sepak biasa, yang hanya sekitar 7,140 meter persegi.
Lukisan berskala besar ini bertujuan untuk mengetengahkan gangguan spektrum autisme dan cabaran yang dihadapi individu sepertinya, terutamanya dalam menghadapi stigma dan kekurangan sumber di Nigeria.
“Saya rasa okay. Gembira. Biasa saja,” kata Tagbo-Okeke, yang mengalami kesukaran bertutur akibat gangguan tersebut.
Karya seninya mengatasi rekod terdahulu yang dipegang oleh Emad Salehi, yang ketika itu berusia 42 tahun hampir tiga kali usia Tagbo-Okeke apabila beliau menghasilkan kanvas seluas 9,652 meter persegi.
Lukisan itu yang dihasilkan pada November 2024 telah diperkenalkan dan diiktiraf secara rasmi oleh penganjur Rekod Dunia Guinness di Abuja, ibu negara Nigeria, semasa sambutan Hari Penerimaan Autisme Sedunia pada April.
Menteri Seni dan Kebudayaan Nigeria, Hannatu Musawa, menyifatkan hasil seni Tagbo-Okeke sebagai ‘cahaya harapan dan inspirasi’ kepada mereka yang hidup dengan autisme.
“Kami mengiktiraf keunikan bakat dan potensi individu dengan autisme dan komited untuk menyediakan peluang agar mereka berkembang dalam industri kreatif,” tambahnya.
KEMUSTAHILAN ADALAH MITOS
Dilahirkan di Kanada sebelum berpindah ke Nigeria, kehidupan Tagbo-Okeke penuh cabaran, menurut keluarganya. Bapanya memberitahu Associated Press sepanjang perjalanan itu, mereka sering berdepan ketakutan, kekeliruan dan kesedihan.
“Tidak dapat berkomunikasi dengan anak sendiri atau melakukan aktiviti biasa seperti kanak-kanak lain sangat memeritkan,” kata Tagbo Okeke.
Ramai individu dalam spektrum autisme di Nigeria berhadapan stigma dan kurangnya sumber, namun keluarga Tagbo-Okeke tekad memberikan sokongan terbaik kepadanya.
Cubaan memecah rekod dunia oleh artis muda ini, disertai kempen bertemakan ‘Kemustahilan Adalah Mitos’, diraikan secara meluas di Nigeria, sebahagian besarnya kerana usia mudanya.
“Kami rasa sangat lega dan bangga, mengetahui betapa banyak masa dan usaha yang dia curahkan untuk mencipta rekod ini,” kata ibunya, Silvia.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ramai anak muda Nigeria mencuba mencipta rekod dunia Guinness.
Kira-kira tujuh rakyat Nigeria telah mencipta rekod dunia dalam tiga tahun terakhir, termasuk Hilda Baci, pemegang rekod maraton memasak terpanjang, dan Tunde Onakoya yang bermain catur paling lama.
SOKONGAN AWAL ADALAH KUNCI
Cubaan rekod dunia Kanyeyachukwu juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi Yayasan Zeebah, sebuah pertubuhan bukan untung yang memberi sokongan kepada individu dalam spektrum autisme dan keluarga mereka.
Walaupun tiada data rasmi dari Nigeria, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira satu dalam setiap 100 kanak-kanak di seluruh dunia adalah autistik.
Seperti di banyak negara lain, autisme di Nigeria selalunya tidak didiagnosis sehingga seseorang itu sudah berusia.
Kekurangan data yang boleh dipercayai tentang autisme, kurang kesedaran dan kurangnya sokongan kerajaan merupakan antara cabaran terbesar yang dihadapi oleh golongan autistik di Nigeria, kata Stanley Effah, pengasas Yayasan Warisan Muzik Ferdinand Effah.
Effah, yang juga mempunyai anak autistik, berkata yayasannya merancang untuk melancarkan konsert muzik tahunan melibatkan artis-artis terkenal sebagai usaha
meningkatkan kesedaran mengenai autisme di Nigeria.
Beliau turut mencadangkan agar terapi sel stem untuk kanak-kanak autistik dimasukkan dalam pelan Insurans Kesihatan Nasional Nigeria sebagai langkah memperbaiki penjagaan mereka.
Ibu Kanyeyachukwu berkata sokongan kerajaan yang lebih meluas amat penting untuk membolehkan golongan dalam spektrum menerima rawatan awal yang mereka perlukan.
Menurut bapanya, Kanyeyachukwu hanya berjaya didiagnosis di Kanada selepas beberapa tahun cubaan gagal di Nigeria.
Diagnosis itu membuka jalan untuk menyokong minatnya dalam melukis, yang dikesan sejak usia empat tahun.
“Kami banyak bekerja keras bersamanya,” katanya. “Kanye boleh kemas bilik sendiri, basuh baju semua itu kerana intervensi awal. Jika dibiarkan tanpa bantuan, dia pasti tidak mampu lakukan semua ini.” – AP