Cipta pencapaian cemerlang

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah hari ini berkenan berangkat menyaksikan hari terakhir Kejohanan Renang Sprints Brunei ke-7, yang berlangsung di Kolam Renang Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Dalam kejohanan tersebut, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah berjaya memenangi empat pingat termasuk pingat emas dalam acara Kuak Lentang 50 Meter, pingat perak dalam acara Kuak Kupu-kupu 50 meter dan dua pingat gangsa masing-masing dalam acara Gaya Bebas 50 Meter dan acara Kuak Dada 50 Meter.

Hadir sama menyaksikan kejohanan tersebut ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.

Pada acara Kuak Lentang 50 Meter, YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah telah mencatatkan masa 53.26 saat bagi memenangi pingat emas dalam acara tersebut, selain berjaya memecahkan rekod peribadinya sebelum ini, 54.06 saat.

YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, yang mewakili Kelab Renang Peak Performance, juga memecahkan rekod peribadinya dalam acara Kuak Kupu-kupu 50 Meter dengan catatan masa 52.57 saat berbanding 55.75 saat sebelum ini.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah bersama anakanda-anakanda, YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman dan YTM Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah berkenan berangkat ke Kejohanan Renang Sprints Brunei ke-7 di Kompleks Renang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. – Gambar oleh Infofoto
YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah semasa menyertai acara Kuak Kupu-kupu dalam kejohanan tersebut. – Infofoto
YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah berjaya memenangi empat pingat termasuk pingat emas dalam acara Kuak Lentang 50 meter. – Gambar oleh Infofoto

Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah sekali lagi memecahkan rekod peribadinya dalam acara Kuak Bebas 50 meter apabila berjaya mencatatkan masa 46.54 saat berbanding 46.81 saat, serta dalam acara Kuak Dada 50 Meter berjaya mencatat 1:00.24 saat berbanding sebelum ini dengan catatan masa 1:00.57 saat.

Perenang elit Brunei, Christian Nikles dan Muhammad Isa Ahmad bertarung dalam acara 50 meter rama-rama dengan aksi Christian semakin bertambah baik bersaing merebut pingat emas.

Perenang junior negara, Breanna Lee Le Er dari Kelab Renang Jerudong, Zeke Chan dari Kelab Renang Peak Performance dan Joel Ling dari Kelab Renang Hammerhead turut menyertai dalam acara pada hari pembukaan pertandingan itu.

Breanna mencatat masa peribadi baharu dalam acara Gaya Bebas 100 meter bagi kategori 12-13 tahun selepas dia mencatat masa 1:06.50 saat berbanding 1:09.02 saat. Zeke juga mencatat masa peribadi baharu dalam acara Kuak Lentang 50 meter bagi kategori 12-13 tahun selepas dia mencatat masa 32.48 saat berbanding 32.75 saat.

Hari terakhir pertandingan juga acara Gaya Bebas 400 meter untuk kedua-dua kategori lelaki dan perempuan 12 hingga 19 tahun, masing-masing dimenangi oleh Aaron Ang bagi kategori lelaki dan Breanna Lee Le Er memenangi bagi kategori perempuan.

Kejohanan tersebut merupakan anjuran Persatuan Renang Amatur Brunei (BASA) dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan, di mana ia telah menarik sehingga 350 perenang berdaftar dari 17 buah kelab atau pasukan renang, dengan enam daripadanya dari Filipina, Miri dan Indonesia.