Cipta penghawa dingin mudah alih ‘Peltz’

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

KOTA TINGGI – Kreatif dan inovatif, itu yang boleh digambarkan mengenai projek rekacipta sekumpulan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab, yang berjaya menghasilkan penghawa dingin mudah alih ‘Peltz’ tanpa menggunakan sebarang gas bahan pendingin.

Dipilih sebagai finalis bagi mewakili negeri Johor dalam pertandingan reka cipta  Yayasan Petronas Sentuhan Harapan – All About Youth (AAY) 2019 peringkat kebangsaan minggu hadapan,  20 pelajar aliran sains tulen dan sains komputer dengan bantuan enam guru bimbingan sekolah berkenaan berjaya menghasilkan ‘Peltz’ dalam masa hanya tiga bulan.

Penghawa dingin tersebut yang mampu mencapai suhu 18 sehingga 20 darjah Celsius dihasilkan dengan menggunakan komponen ‘peltier’ dan ‘air cooling’ yang kebiasaannya digunakan untuk menurunkan haba komputer.

Menurut guru bimbingan projek inovasi itu, Mohd Nor Akmal Salleh, pelajarnya juga berjaya membangunkan sebuah aplikasi  telefon pintar ‘Peltz’ dalam masa dua jam sehaja bagi  mengaktifkan penghawa dingin berkenaan dengan hanya menggunakan suara (voice command) dan sensor. Peltz dikomersialkan daripada perkataan ‘Peltier’ iaitu komponen utama yang digunakan dalam penghasilan pendingin hawa ini.

“Uniknya produk ini tidak ada gas dan menggunakan peltier sepenuhnya bersama dua sistem penyejukan iaitu water cooling dan air cooling, itu prinsip yang mereka terapkan semasa belajar di dalam kelas. Maka terhasil produk Peltz tersebut,” katanya yang menjelaskan keseluruhan idea reka cipta adalah daripada pelajar-pelajarnya.

Bantuan belajar

Mohd Nor Akmal berkata pelajar-pelajarnya juga hanya mempunyai pengetahuan asas dalam pengaturcaraan  dan bagi projek berkenaan pelajar harus  belajar melalui bantuan laman sesawang Google, YouTube serta khidmat nasihat guru dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi membangunkan aplikasi Peltz dan sebagainya.

“Projek ini dihasilkan oleh pelajar sepenuhnya, mereka juga yang melakukan pendawaian, pengaturcaraan, rekaan, pengekodan selain mencari alternatif dan dana lebih daripada pelbagai pihak walaupun Petronas memberi geran sebanyak RM1,000 dan membekalkan komponen pengawal mikro ‘studuino’ yang harus digunakan dalam projek ini,” katanya.

Sementara itu, ketua projek Muhammad Amir Hariz Mashuri,16, berkata kumpulannya yang diberi nama ‘Glorious Estrella’ berharap agar reka cipta mereka dapat dipatenkan pada masa hadapan. Manakala, Teo Jun Jet, 14, yang berperanan dalam pengekodan  berkata kumpulannya itu turut  berharap agar ada pihak yang berminat untuk mengkomersialkan penghawa dingin tersebut.

“Apa yang kami perlukan adalah sedikit masa untuk memperkemaskan lagi reka cipta kami. Sekiranya ada syarikat yang berminat, kami sedia untuk bekerjasama memandangkan penghawa dingin ini tidak mengeluarkan gas karbon, jadi ia sekaligus dapat mengurangkan pengeluaran gas berkenaan untuk memelihara alam sekitar,” katanya. – Bernama

Ketua projek Muhammad Amir Hariz Mashuri bersama ahli kumpulannya Teo Jun Jet dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab menunjukkan aplikasi yang boleh diakses pada projek penghawa dingin mudah alih ‘Peltz’ ciptaan mereka. – Bernama