Cipta persekitaran Bahasa Arab kondusif

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Seramai 112 orang pelajar universiti telah menyertai dan menerima sijil penyertaan Perkhemahan Bahasa Arab Serantau Kali Pertama pada Majlis Penghargaan Perkhemahan yang berlangsung di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Perkhemahan yang dianjurkan oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menerusi Fakulti Bahasa Arab dengan kerjasama Kedutaan Kesultanan Oman di Negara Brunei Darussalam itu membawa tema ‘Bersama-sama Berinovasi dan Meningkatkan Kemahiran’.

Ia dihasratkan untuk menjadi sebuah platform kepada pelajar-pelajar daripada serantau untuk menciptakan persekitaran Bahasa Arab yang kondusif serta membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk saling berinteraksi dengan menggunakan Bahasa Arab secara aktif.

Hadir untuk menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada para penaja bersama, tenaga akademik dan peserta perkhemahan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.

Turut hadir ialah Duta Besar Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil bin Rashid bin Al-Maskari; Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; Dekan Fakulti Bahasa Arab UNISSA selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perkhemahan, Profesor Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad; pegawai-pegawai utama UNISSA, wakil kedutaan negara-negara Arab ke Negara Brunei Darussalam serta wakil-wakil pusat pengajian tinggi dari dalam dan luar negara.

Perkhemahan itu disertai oleh pelajar-pelajar UNISSA, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB); Universiti Malaysia (UM); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS); Universiti Putera Malaysia (UPM); Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); Prince of Songkla University, Thailand; Mindanao State University, Filipina; Universitas Ahmad Dahlan, Indonesia dan UIN Maulana Malik Ibrahim Malang, Indonesia. Perkhemahan selama empat hari yang bermula dari 3 Februari lalu itu dikendalikan oleh tenaga akademik di Fakulti Bahasa Arab, UNISSA dengan dibantu oleh tenaga-tenaga akademik daripada beberapa buah universiti luar yang terlibat dalam perkhemahan itu.

Antara aktiviti yang diadakan semasa perkhemahan tersebut ialah Pertandingan Reka bentuk Logo Terbaik, Pertandingan Lakonan, Pertandingan Pengucapan Umum dan Aktiviti Permainan Bahasa Arab.

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz menghadiri Majlis Penghargaan Perkhemahan Bahasa Arab Serantau Kali Pertama yang berlangsung di Pusat Belia, ibu negara.