Cipta Step Sanitizer Dispenser elak penularan koronavirus

ALOR SETAR, 3 JUN – Seorang pembantu operasi di Universiti Utara Malaysia (UUM) menghasilkan inovasi alat pemijak pensanitasi tangan iaitu ‘Step Sanitizer Dispenser’ sebagai inisiatif bagi mengelak penularan COVID-19 melalui sentuhan.

Mohamad Nizam Mansor, yang merupakan kakitangan Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) di universiti itu berkata walaupun ciptaan alat berkenaan ringkas, namun ia sangat membantu mengelakkan risiko jangkitan wabak itu dalam kalangan orang ramai yang berkongsi cecair pembasmi kuman.

“Biasanya kita akan berkongsi dan menyentuh botol cecair pembasmi kuman yang diletakkan di atas meja untuk kegunaan secara bersama, sama ada rakan pejabat atau orang luar yang datang untuk berurusan di pejabat.

“Tetapi, dengan alat pemijak ini, kita tidak perlu bimbang lagi kerana tidak perlu menyentuh permukaan botol untuk mengeluarkan cecair pembasmi kuman,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata alat diperbuat daripada PVC itu juga hanya memerlukan pengguna menekankan kaki di bahagian pemijak dan paip yang terhubung akan menekan kepala botol, lalu mengeluarkan cecair pensanitasi tangan.– Bernama