Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Ciptaan berinspirasi alam semesta

    NOIDA, INDIA – Tatkala dia menyiapkan gaun terakhir untuk koleksi Minggu Fesyen Paris, pereka fesyen terkemuka India, Rahul Mishra sedang menerima inspirasi dari Perancis – dan seorang rakan dari era lain.

    “Saya memasang impian mencapai cita-cita yang mustahil dicapai, saya ingin melukis ruang udara,” beritahunya kepada AFP, memetik pelukis impresionis abad ke-19, Claude Monet.

    Kedua-dua pereka sudah pun terkenal dengan konsep artistik tersendiri untuk menggambarkan alam semula jadi – Monet pada kanvas, dan Mishra pada busana anggun, menyerlah dengan sulaman warna-warni dan hiasan berbentuk kelopak bunga. Hasil ciptaan Mishra sudah menjadi sumber asas majalah fesyen terkenal di dunia di mana koleksinya diperagakan oleh bintang filem termasuk Cate Blanchett dan Michelle Yeoh.

    Puluhan pereka fesyen, tukang jahit dan ahli pertukangan telah bekerja keras di bengkel baharunya berdekatan ibu negara New Delhi di India, memberikan sentuhan akhir pada koleksi ‘Cosmos’ yang akan diperkenalkannya di Paris.

    Beberapa pekerja duduk di atas tikar di depan alat tenun sulaman sambil menjahit motif bunga pada fabrik nipis dalam kerja yang perlu dibuat dengan cermat dan teliti.

    Pelanggan melihat gaun di kedai pereka fesyen Rahul Mishra di New Delhi. – AFP
    Tukang jahit mengusahakan reka bentuk gaun oleh pereka fesyen Rahul Mishra di bengkelnya di Noida. – AFP

    Seorang wanita memperagakan gaun daripada koleksi busana anggun ‘Tree of Life’ 2022 di kedai Rahul Mishra di New Delhi. – AFP

    Pereka fesyen Rahul Mishra memeriksa corak pada gaun ciptaannya di bengkel di Noida.- AFP

    “Saya mempunyai banyak impian, saya sering tenggelam dalam dunia baharu, dalam fantasi,” ujar pereka berusia 43 tahun itu, ketika bekerja di meja kerja sambil memperkenalkan ciptaan rakan sekerjanya.

    “Saya kembali dan mengongsikannya dengan pekerja saya, saya bercakap dengan mereka dan seterusnya impian tersebut menjadi impian semua orang, dan semua orang mula mempercayai idea ini.”

    Alam fantasi Mishra telah menjadi kenyataan dan menerima sambutan dalam tahun-tahun sejak dia memenangi Hadiah Woolmark Antarabangsa – salah satu anugerah terkenal dalam dunia fesyen – pada 2014.

    Persekutuan Fesyen Perancis memasukkan ciptaannya pada fesyen Paris pada tahun yang sama, dan pada 2020, dia menjadi pereka India pertama yang dipaparkan dalam program busana anggunnya.

    Alam semula jadi telah menjadi sumber inspirasi utama Mishra, bermula pada usia 10 tahun apabila dia tertarik untuk melakar bunga-bunga memekar dan pemandangan alam di kampung halamannya.

    Tanpa bimbingan dari mentor dan bapa yang mendesaknya memburu kerjaya yang lebih stabil, Mishra hampir-hampir meninggalkan impian menjadi pereka fesyen anggun sebelum membatalkan pengajian sains di universiti.

    Dia mendaftar di Institut Reka Fesyen Nasional, akademi seni kreatif terkenal di India, sebelum mengambil jurusan fesyen di ibu negara Itali, Milan.

    Pencapaian artistik terbaharunya menunjukkan dia masih tidak melupakan asal-usulnya.

    Koleksi utama ‘Tree of Life’ pada tahun lalu memaparkan gaun berbunga tanpa lengan dalam 120 warna yang melambangkan musim bunga.

    “Ia semestinya gaun paling berwarna-warni yang pernah saya hasilkan,” katanya, menambah setiap gaun labuh memerlukan 5,000 jam untuk siap.

    Barangan daripada koleksi dijual sehingga 12,500 euro (AS$13,500) sebaik sahaja ia siap.

    “Terdapat kurang daripada 200 artis di seluruh India yang mampu menghasilkan ciptaan berwarna-warni ini,” tambahnya. “Adalah lebih sukar untuk meniru gaun asal daripada menciptanya.”

    Mishra kini menyimpan cita-cita untuk mengembangkan hasil ciptaannya di seluruh dunia dan pada Mac, akan melancarkan koleksi sedia pakai di Eropah.

    Butik pertamanya di Eropah akan dibuka di London pada akhir tahun ini dalam usaha sama dengan konglomerat India Reliance, pengedar utama jenama mewah yang mempunyai gabungan eksklusif dengan Balenciaga dan Armani.

    Namun cita-citanya akan bergantung pada pembangunan alternatif kepada syarikat fesyen gergasi seperti Uniqlo dan Zara, menggunakan bakat tekstil yang boleh didapati dengan banyak di India.

    “Kini sudah tiba masanya,” katanya.

    “Matlamat terbesar saya adalah kami akan menyediakan pekerjaan kepada lebih satu juta orang di seluruh dunia pada satu hari nanti.” Seperti kebanyakan artis, setiap hasil ciptaan lengkap Mishra mencerminkan kesukaran yang datang bersama butiran terperinci yang dicurahkan dalam karya – pergelutan emosi yang juga sumber inspirasi kreatif.

    “Kami meraikan kesilapan, kami meraikannya apabila kami gagal,” katanya. “Keindahan mencuba sesuatu yang baharu, keterujaan dan hasrat melakukan sesuatu yang baharu sentiasa kami raikan.”

    “Saya fikir pertunjukan fesyen adalah lebih daripada segala-galanya…apa yang membuat saya paling teruja adalah prosesnya.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...