CIQ Sg Tujoh Miri perlu pembaikan

Saya merupakan penduduk Sarawak yang bekerja di Brunei dan sering berulang-alik ke Miri, jika hari biasa, kawasan sempadan tidaklah terlalu sesak.

Namun setiap kali hujung minggu, hujung bulan dan ada kalanya musim perayaan, kesesakan di Sungai Tujoh terutamanya di bahagian Malaysia memakan masa terlalu lama untuk dilalui.

Kesesakan ini saya kira sudah bermula semenjak CIQ Sungai Tujoh Miri bertukar wajah kepada yang lebih moden dan baharu kira-kira beberapa tahun yang lalu.

Saya puji tempatnya nampak lagi cantik dan bersih, namun kawasan mengecap pasport sebaliknya diserongkan dan ruang antara kereta pula tidaklah sebesar mana untuk membolehkan kereta lalu antaranya untuk mara ke depan.

Disebabkan reka bentuk sebegitu, kesesakan berlaku hampir setiap minggu sehingga ada kalanya ia mencecah 2km jauhnya.

Manakala di bahagian pengecapan kereta atau kastam pula, orang ramai beratur panjang sehingga kereta-kereta pula diletakkan di tepi-tepi jalan dan mengganggu lalu-lintas.

Di pintu kastam, tertulis jika masih sah pas kereta dalam tiga bulan tidak perlu cap, namun beberapa hari yang lalu, saya lintasi sahaja kawasan tersebut kerana cap kereta saya mansuh pada September.

Dan ketika mahu mengecap pas esoknya, saya ditanya kenapa tak ada cap masuk.

Saya maklumkan pas saya mansuh lama lagi, tetapi petugas di sana memaklumkan mesti turun juga untuk cap pass.

Meskipun saya sudah bersedia dengan borang VMS seperti yang dikatakan, namun ia belum lagi berfungsi sepenuhnya walaupun dalam tempoh percubaan.

Maka disebabkan itu, masih ramai yang berbaris untuk mengecap pas kereta malah memakan masa hampir satu jam, di mana masa itu boleh digunakan untuk perkara lain.

Di bahagian Brunei, jika adapun kesesakan panjang, namun ia dapat diatasi dengan cepat kerana sistem yang lebih baik bagi bahagian kastam dan kaunter cap pasport yang sering banyak dibuka dan laluannya pula lurus sahaja, memudahkan lagi kereta melaluinya.

Sehubungan itu, CIQ Sungai Tujoh Miri perlu membuat pembaikan lagi untuk memastikan kelancaran perjalanan di antara kedua-dua buah negara, sementelah lagi ia merupakan pintu masuk ke tanah air bagi rakyat Malaysia di Brunei, Limbang dan Sabah serta destinasi utama membeli-belah bagi penduduk Brunei Darussalam. – Antara Dua Negara