Ciri baharu Instagram tangani kes buli

WASHINGTON, 9 JULAI – Instagram akan memperkenalkan ciri-ciri baharu yang bertujuan mengekang sikap membuli online, platform dimiliki Facebook itu mengumumkan semalam, ketika gergasi media sosial itu berdepan penelitian demi penelitian atas gangguan yang dihadapi ramai penggunanya.

Terdapat peningkatan seruan di seluruh dunia bagi pengawasan lebih ketat di platform seperti Facebook dan Twitter, di tengah-tengah kritikan meluas terhadap sikap membuli dan juga kata-kata kebencian dan berita palsu.

Instagram yang mempunyai lebih daripada sebilion pengguna di seluruh dunia, merupakan sebuah platform yang menumpukan kepada imej, membolehkan pengguna untuk menyiarkan foto dan video yang boleh dikomen oleh pengguna lain.

Syarikat itu mengatakan ia menggunakan peranti kecerdasan buatan untuk memantau buli dan kandungan membahayakan selama beberapa tahun, kini akan menggunakan teknologi itu untuk mengesan pengguna yang akan membuat posting sesuatu yang menjelikkan dan mengeluarkan amaran.

“Campur tangan ini akan memberikan orang ramai peluang untuk memikirkan semula perkara itu dan tidak menulis komen mereka,” kata Adam Monseri, ketua Instagram dalam satu kenyataan.

Manakala satu lagi ciri lain yang baharu ialah ‘Restrict’ (Sekatan) yang bertujuan mengehadkan komen kesat ke atas format data terkini (feed) pengguna.

“Kami mendengar daripada orang muda dalam komuniti kami bahawa mereka keberatan untuk memblok, ‘unfollow’ atau melaporkan pembuli mereka kerana ia akan memburukkan lagi situasi, terutamanya jika mereka berinteraksi dalam kehidupan sebenar,” kata Mosseri.

Kini mereka boleh membuat pos daripada orang yang menyakitkan itu dan hanya boleh dilihat orang tersebut. Orang yang disekat tidak akan dapat melihat sama ada anda aktif di Instagram atau apabila anda membaca mesej langsung mereka,” tambah Mosseri.

Langkah-langkah Instagram ini merupakan siri terkini yang diambil oleh rangkaian media sosial untuk melindungi pengguna, terutamanya daripada segmen muda belia dalam masyarakat. – AFP

Gambar fail menunjukkan logo rangkaian media sosial AS, Instragram dipamerkan di skrin komputer dan telefon pintar di Nantes, barat Perancis. Instagram hari ini memperkenalkan ciri-ciri baharu yang mengekang buli online di platformnya. – AFP