Ciri tambahan aplikasi TransportBN dikemaskinikan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Beberapa ciri tambahan kepada aplikasi mudah alih TransportBN telah mula diperkenalkan pada 15 Disember lalu termasuk akses kepada lesen memandu dan lesen kenderaan atau road tax dalam bentuk digital.

Ia merupakan antara usaha untuk menambah nilai kepada perkhidmatan-perkhidmatan lesen kenderaan dan perkhidmatan lesen memandu.

Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof memaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) telah mengemaskinikan ciri lesen kenderaan untuk kemudahan kefahaman orang ramai serta mengelakkan sebarang kekeliruan.

Sehubungan dengan itu, bagi memastikan penggunaan yang lebih lancar dan berkesan, beliau menasihatkan kepada orang ramai untuk mengemas kini aplikasi TransportBN di telefon pintar masing-masing.

Yang Berhormat Dato memaklumkan perkara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani

Beliau turut mengongsikan, sejak pengenalan ciri-ciri baharu tersebut, setakat hari ini, sebanyak 16,600 pengguna baharu iaitu peningkatan sebanyak 21.1 peratus telah pun memuat turun aplikasi berkenaan iaitu daripada 78,500 pengguna pada awal Disember kepada 95,100 pengguna pada hari ini.

“Setelah pemantauan dan penelitian semula dan bagi kesenangan orang ramai, MTIC melalui Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) telah pun mengeluarkan pelekat lesen kenderaan mulai hari ini (21 Disember).”

Beliau turut menambah bahawa selain permohonan yang dibuat secara dalam talian, permohonan bagi membaharui lesen kenderaan juga boleh dibuat di kesemua kaunter JPD dan kaunter pejabat pos yang telah pun dikenal pasti.

“Seperti kaedah lesen kenderaan digital, kaedah pelekat lesen kenderaan masih terus diguna pakai dan masih sah sepertimana jua kaedah lesen memandu digital dan juga lesen memandu fizikal sekali gus,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, pemohon yang telah menerima SMS dan berkeinginan untuk mendapatkan pelekat-pelekat lesen kenderaan, JPD akan memaklumkan pe-rincian lanjut mengenai perkara tersebut dalam waktu yang terdekat.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai khususnya atas maklum balas dan pandangan-pandangan dalam meningkatkan dan menambahbaikkan kualiti penyampaian perkhidmatan-perkhidmatan JPD secara berterusan.

Keterangan lanjut mengenai pelaksanaan perkara-perkara berkenaan juga akan diterangkan dan diberigakan dengan lebih terperinci melalui siaran media JPD yang akan diadakan dalam masa yang terdekat ini.