Cita rasa hidangan asli Padang

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

Rumah Makan Padang dari Sumatera, Indonesia boleh dilihat di seluruh pelosok Indonesia daripada sekecil-kecil ukuran sehingga restoran mewah bertaraf lima bintang, namun apa yang menjadikan ia unik dan diminati ramai sehingga boleh didapati di mana-mana sahaja di negara gugusan kepulauan itu?

Di Negara Brunei Darussalam sendiri, terdapat beberapa buah restoran atau gerai yang menampilkan masakan Padang ini dan penulis berpeluang menemu bual salah seorang daripada pemiliknya, Shinta Mutiara yang berasal dari Padang, Sumatera.

Menurut Shinta, di negara ini masih belum ramai yang mengetahui rasa asli dan sebenar masakan Padang kerana cara masakan dan tatacara penyajiannya berlainan di restoran-restoran di negara ini.

Beliau yang mengusahakan Rumah Makan Padang di Kampung Sengkurong yang baru dibuka pada 28 Ogos lalu, mengatakan cabaran awal membuka restoran itu adalah penularan pandemik COVID-19 yang berlaku di negara ini dan juga seluruh dunia.

Namun keadaan terkawal di negara ini membolehkan beliau menjalankan restorannya dengan lancar dan sambutan penduduk dan warga Indonesia yang bermastautin di negara ini mula memberangsangkan.

Antara hidangan asli nasi dan lauk-pauk Padang yang diketengahkan di Rumah Makan Padang.

Keaslian nasi Padang

Menurut Shinta, nasi Padang asli bukan sekadar membangkitkan rasa yang menyelerakan melalui cara masakannya, bahkan pembungkusannya untuk dibawa pulang juga ada kisahnya.

Ini kerana orang Minang, pembuat nasi Padang asli sememangnya terkenal dengan sifat murah hati dan pelanggan lazimnya terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan maka di situlah, apabila membungkus makanan, mereka memberikan nasi dan lauk yang banyak, tidak seperti ketika makan di restoran, tambahnya.

“Menu yang saya hidangkan miliki cita rasa asli dan tersendiri, warisan daripada ibu saya sendiri. Walaupun sebahagiannya ada diubahsuai memandangkan rempah-rempahnya sukar didapati di negara ini, namun rasanya masih asli dan tidak terlalu ketara perbezaannya, apa lagi ada sebahagian masakan yang cita rasanya sama dengan Brunei,” katanya.

Masakan Indonesia terkenal dengan bumbu dan rempah yang menjadi kunci utama kelazatannya. Antara rempah yang digabungkan dalam masakan Padang ini ialah cengkih, buah pala, kayu manis dan sebagainya, tambahnya.

Cili wajib ada

Lebih 20 masakan Padang ditampilkan setiap hari antaranya rendang yang agak rumit cara memasaknya dan sangat berlainan dengan rendang yang dimasak oleh rakyat Brunei.

Manakala cili merupakan adunan wajib yang ada dalam setiap masakan Padang. Ia bagaimanapun perlu diolah dengan cara dan teknik tersendiri dalam masakan tertentu agar hidangan itu lebih sedap.

Menurut Shinta lagi, cili haruslah ‘diulek’ iaitu digiling menggunakan batu lesung bagi memastikan ia segar, sedap dan pedas, memenuhi cita rasa pelanggan.

Beliau yang mengaku tidak pandai memasak hidangan nasi dan lauk-pauk Padang sebelum ini, belajar daripada ibunya untuk memahirkan dirinya dalam masakan tersebut dan akhirnya mencuba nasib memperkenalkan hidangan itu di negara ini.

“Selain masakan Padang, saya juga menggunakan waktu terluang untuk mencuba pelbagai resipi-resipi baharu,” katanya di akhir temu bual bersama penulis.