Cita rasa Iran di Anjung Saujana

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Restoran Anjung Saujana telah melancarkan promosi terbaharunya iaitu Cita Rasa Iran yang dianjurkan bersama Kedutaan Besar Republik Islam Iran di Brunei Darussalam.

Pelancaran promosi yang bermula hari ini hingga hujung minggu ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Royal Brunei Catering (RBC), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Restoran Anjung Saujana, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Turut sama melancarkan promosi berkenaan ialah Duta Besar Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Homeira Rigi.

Promosi berkenaan mengetengahkan beberapa kulinari Parsi antaranya Zeresh Polo (Nasi Barberry Saffron), Joojeh Kebab (Kebab Ayam Saffron Persia), Khoresh Ghormeh Sabzi (Kacang dan Kambing Rebus berempah), Tah Chin Morgh (Baked Persian Saffron Rice with Chicken dan Yogurt), Za’atar Man’ouche, Persian Halwa, Shole Zard dan banyak lagi.

Pengarah Urusan RBC, Haji Jeff Hadiman bin Dato Paduka Haji Danial dalam ucapan ringkasnya berkata, kulinari dari Iran berkenaan merupakan yang pertama dipromosikan di Anjung Saujana.

“Kami berbesar hati bekerjasama dengan Kedutaan Republik Islam Iran mempromosikan makanan tradisi Iran ke Negara Brunei Darussalam, dan berharap melalui promosi kulinari ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua buah negara,” tambahnya.

Sepanjang promosi berkenaan, pemegang kad RBC Dining Privilege juga akan mendapat diskaun sebanyak 10 peratus.

Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah menerima kunjungan hormat daripada Laksamana Zafar Mahmood Abbasi NI (M).