Citizen bangkit benam Burnley

MANCHESTER, United Kingdom, 3 Jan – Manchester City mengatasi penyingkiran Fernandinho pada separuh masa pertama dan kesilapan Claudio Bravo bagi menyelamatkan kemenangan 2-1 ke atas Burnley dalam persaingan Liga Perdana semalam.

Kad merah ketiga buat Fernandinho dalam enam perlawanan akan membawa penggantungan empat perlawanan, tetapi selepas separuh masa pertama City yang buruk dalam tempoh lapan tahun, pengurus Pep Guardiola gembira untuk mendapatkan tiga mata menerusi jaringan Gael Clichy dan Sergio Aguero.

Pemain pertahanan Perancis itu menjaringkan gol pada minit ke-58 selepas hantaran lintang Bacary Sagna ditanduk kepadanya di sudut luar kawasan oleh pemain pasukan pelawat, Michael Keane.

Clichy meluru dan dicabar oleh Scott Arfield sebelum melepaskan rembatan dalam kotak penalti dan menerjah bahagian bawah jaring sudut kanan.

Empat minit kemudian, City dilihat mengawal keadaan apabila hantaran Kevin De Bruyne menyaksikan Raheem Sterling berada dalam kawasan dan dapat mencari peluang menerusi kesilapan pemain pertahanan Ben Mee.

Penjaga gol Man City Claudio Bravo cuba menumbuk bola sebelum pemain Burnley Ben Mee menjaringkan gol dalam aksi Liga Perdana di Stadium Etihad, kelmarin. – AP
Penjaga gol Man City Claudio Bravo cuba menumbuk bola sebelum pemain Burnley Ben Mee menjaringkan gol dalam aksi Liga Perdana di Stadium Etihad, kelmarin. – AP

Sterling terjatuh ketika penjaga gol Tom Heaton menghalang bola di kakinya, tetapi pemain gantian Aguero bersedia untuk menjaringkan gol dari sudut luas dan mengatasi pemain pertahanan Matt Lowton.

Namun City masih menghadapi kesukaran dalam perlawanan itu selepas kesilapan penjaga gol Bravo dari sepakan sudut menyaksikan Niciolas Otamendi mengeluarkan bola dari garisan dan Mee meledakkan gol yang melantun di bawah palang.

Kemenangan itu membolehkan City merapatkan jurang dengan dua mata di belakang Liverpool yang berada di tangga kedua, yang terikat seri 2-2 di Sunderland, dan tujuh mata dari Chelsea, menjelang kunjungan ke Tottenham Hotspur esok.

City bermula dengan cemerlang sebelum cabaran keras Fernandinho menyaksikan pengadil perlawanan Lee Mason dengan sedikit pilihan tetapi melayangkannya kad merah pada minit ke-32.

Pemain dari Brazil itu melompat untuk mencabar Johann Berg Gudmundsson dengan kedua belah kakinya, yang menyaksikannya menjadi pemain keenam City diarah meninggalkan padang dalam 30 perlawanan kendalian Guardola.

Burnley mendapat peluang terbaik tetapi rembatan Ashley Barnes tersasar dari kedudukan menarik di luar kawasan penalti ketika mereka menikmati penguasaan pada separuh masa pertama. – AFP