Citizens belasah Blues

MANCHESTER, United Kingdom, 11 Feb – Sergio Aguero teruskan kemantapan dengan menjaringkan hatrik ketika Manchester City menjaringkan empat gol dalam tempoh 25 minit untuk membenam Chelsea 6-0 dan sekali lagi memintas Liverpool untuk mengungguli kedudukan teratas Liga Perdana menerusi perbezaan jaringan awal pagi tadi.

Aguero seharusnya menjaringkan lebih banyak jaringan ketika pemain dari Argentina itu terlepas peluang lebih awal dan menggegarkan palang pada separuh masa kedua dalam perlawanan yang memalukan bagi skuad kendalian Maurizio Sarri.

Raheem Sterling meledak dua gol dan Ilkay Gundogan juga menjaringkan gol pada suku pertama perlawanan ketika City menamatkan minggu yang mencabar ini.

Chelsea pula tercicir ke tangga keenam dengan kekalahan itu dan sudah pasti meningkatkan keraguan terhadap masa depan Sarri.

Ini adalah kekalahan terburuk dalam mana-mana persaingan sejak 1991 selepas kegagalan untuk pulih daripada jaringan pembukaan menerusi Sterling pada minit keempat.

Aguero (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukannya ketika menentang Chelsea di Etihad. – AP

Sepakan bebas bijak Kevin de Bruyne memberikan bola kepada Bernardo Silva yang memiliki ruang yang luas untuk membuat hantaran lintang bagi pemain antarabangsa England itu untuk menyudahkan jaringan.

Aguero kemudian menembusi bola di bahagian sudut atas gawang menerusi sepakan cantik jarak 25 ela untuk menggandakan jaringan City selepas 13 minit perlawanan.

Aguero mempunyai tugasan mudah untuk menukar kedudukan menjadi 3-0 enam minit kemudian apabila menghukum kesilapan Ross Barkley.

Sepakan Gundogan dari luar kawasan penalti kemudian terlalu sukar bagi penjaga gol termahal dunia, Kepa Arrizabalaga untuk menamatkan kekecewaan Chelsea.

Aguero melengkapkan hatriknya melalui sepakan penalti selepas Stering dikasari oleh Cesar Azpilicueta dalam kawasan penalti.

Aguero kini menyamakan jaringan terbanyak Liga Perdana bersama Mohamed Salah dengan 17 gol musim ini.

Manakala, Stering dengan mudah memasukan bola ke gawang menerusi hantaran lintang Oleksandr Zinchenko sebelum wisel penamat dibunyikan. – AFP