LONDON, 25 Nov – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan bahawa Manchester City masih mempunyai ruang untuk ’memperbaiki permainannya selepas juara itu membelasah West Ham United 4-0 semalam.
Skuad kendalian Guardiola berada dalam prestasi terbaik di mana juara itu mengekalkan permulaan tanpa kalah mereka selepas 13 perlawanan Liga Perdana musim ini.
David Silva dan Raheem Sterling meledakkan gol dalam 19 minit pertama bagi meletakkan City dalam penguasaan.
Pemain sayap Jerman, Sane menjaringkan gol sebelum rehat dan sekali lagi pada minit-minit akhir perlawanan bagi memastikan pendahulu City kekal dua mata di depan Liverpool.
City telah menjaringkan 19 gol dalam empat perlawanan terakhir bagi semua persaingan, menjadi momentum terbaik dalam persiapan bagi pertembungan genting Liga Juara-Juara di Lyon.
Namun bos City, Guardiola tidak mahu para pemainnya terleka, sementara dia memuji pemainan hebat di Stadium London, dia berazam untuk memastikan pasukannya memberikan persembahan terbaik di masa hadapan.
“Risiko terbesar adalah percaya kami tidak dapat melakukan sesuatu perkara dengan lebih baik. Kami boleh memperbaiki permainan. Kadangkala kami bernasib baik,” kata Guardiola.
“Saya fikir ia mungkin disebabkan rehat antarabangsa. Para pemain membuat perjalanan dan berlatih dengan cara berbeza, jadi kami mensia-siakan banyak peluang dan gagal mendapatkan rentak yang tepat untuk menyerang.
“Namun keempat gol adalah hebat dan begitu juga keputusan. Selepas rehat antarabangsa ia selalunya sukar. Real Madrid tewas di laman lawan, Bayern seri di laman sendiri dan Manchester United gagal menang. “Jadi saya memberikan pujian pada pasukan, sedar kami masih mampu melakukan lebih baik dan kami akan melakukannya.” – AFP
































