Citizens benam Donetsk

MANCHESTER, United Kingdom, 8 Nov – Gabriel Jesus berjaya mencetak hatrik ketika membantu Manchester City membelasah Shakhtar Donetsk 6-0 untuk meneruskan kemaraan Citizens ke peringkat 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara di Stadium Etihad awal pagi tadi.

Bagaimanapun, salah satu gol City telah dibayangi dengan keputusan penalti yang mencetuskan kontroversi dan pengurus Citizens, Pep Guardiola menggesa sistem pengadil bantuan video (VAR) perlu diperkenalkan.

Pengadil Hungary, Viktor Kassai menghadiahkan City sepakan penalti ketika Raheem Sterling terjatuh sendiri semasa cuba untuk menendang bola ke gawang lawan pada pertengahan separuh masa pertama, tatkala City sudah mendahului 1-0 melalui jaringan pembukaan David Silva.

Sepakan penalti kontroversi itu bagaimanapun telah disempurnakan oleh Gabriel. Dia berjaya meledak jaringan penalti kedua selepas rehat dan melengkapkan jaringan hatriknya dengan tendangan lambung pada masa kecederaan, menambah jaringan yang dicetak oleh Sterling dan Riyad Mahrez sebelum itu.

“Ia bukanlah penalti,” kata Guardiola. “VAR tidak diperkenalkan di UEFA jadi itulah masalahnya.”

Gabriel (tengah) meraikan jaringannya selepas meledak gol keempat Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara menentang Shakhtar Donestsk di Stadium Etihad. – AFP

Meskipun terdapat beberapa keputusan kontroversi, penggunaan VAR sebahagian besarnya dianggap satu kejayaan di Piala Dunia dan sistem itu akan diperkenalkan di kancah Liga Juara-Juara musim depan.

Walau bagaimanapun, Guardiola, yang sebelum ini digantung dari berada di bangku simpanan kerana membantah keputusan pengadil yang tidak membenarkan jaringan City dalam aksi suku akhir menentang Liverpool musim lalu, menggesa agar VAR digunakan pada saingan musim ini.

“Pengadil mesti dibantu oleh teknologi. Ia tidak bagus untuk menjaringkan gol dengan cara itu tetapi ia berlaku kepada kami musim lalu ketika menentang Liverpool, jadi pengadil mesti dibantu,” ujar pengurus dari Sepanyol itu.

Sterling juga meminta maaf kepada Kassai selepas terjatuh sendiri ketika cuba menjaringkan gol ke gawang lawan.

“Saya mahu menendang bola dan tidak tahu apa yang berlaku. Saya tidak merasa sebarang kekasaran, saya melakukan kesilapan sendiri, saya meminta maaf kepada pengadil,” kata Sterling. – AFP

SAHAM
TerdahuluPupuk kerja berpasukan
SeterusnyaPatung Salah diejek