Citizens enggan beri muka

MANCHESTER, 3 JULAI – Luka Manchester City sedikit terubat setelah menyerahkan gelaran Liga Perdana Inggeris kepada Liverpool dengan menewaskan pasukan The Reds 4-0 pada perlawanan semalam.

Citizens sekali gus memberi amaran kepada Liverpool untuk merebut kembali gelaran EPL musim depan ketika Kevin De Bruyne, Raheem Sterling dan Phil Foden masing-masing menjaring gol di separuh masa pertama perlawanan dan merupakan kekalahan liga ketiga buat Liverpool dalam 71 perlawanan mereka.

Jaringan sendiri Alex Oxlade-Chamberlain melengkapkan kemenangan selesa buat City semalam yang menambah lagi kesedihan bagi pasukan Jurgen Klopp, yang mungkin saja bolos lebih banyak pada separuh masa kedua perlawanan. Kedudukan teratas antara kedua-duanya pasukan kekal dengan jurang 20 mata, tetapi usaha Liverpool untuk mempertahankan rekod yang baik dalam kempen masih dipegang oleh City sejak dua musim lalu setelah berjaya menewaskan juara itu.

City sebelum memulakan perlawanan malam itu telah memberikan laluan barisan penghormatan kepada The Reds yang mengakhiri penantian selama 30 tahun untuk memenangi EPL. Di awal perlawanan menunjukkan Liverpool telah beberapa kali membolosi pertahanan City yang sedikit goyah serta antara sebab utama mereka gagal menjadi juara musim ini. Percubaan Mohamed Salah di awal perlawanan terkena tiang gol, manakala percubaan Sadio Mane gagal menembusi gawang City.

Percikan bunga api kemudian dilancarkan di luar stadium, sebagai tanda meraikan kejuaraan dari penyokong Liverpool, tetapi City dengan mudah menjaringkan tiga gol dalam 20 minit setelah perlawanan bermula.

De Bruyne merupakan pemain yang cemerlang musim ini dan pemain Belgium itu mula memberi impak dalam perlawanan ketika Liverpool sedang bergelut untuk mengawal pergerakannya di bahagian tengah.

Jaringan ke-13 buat De Bruyne musim ini pada minit ke-25 perlawanan menerusi sepakan penalti selepas Joe Gomez dipersalahkan kerana menarik Sterling.

Sterling digantung oleh pengurus England, Gareth Southgate setelah bergaduh dengan Gomez di kantin semasa latihan bersama pasukan antarabangsa sehari selepas kemenangan 3-1 Liverpool ke atas City di Anfield awal musim ini. – AFP

Aksi pemain pertahanan Manchester City ketika mengawal bola dengan papan skor tertera keputusan akhir 4-0 semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Manchester City dan Liverpool di Stadium Etihad, Manchester, semalam. – AP