Citizens menang bergaya

LONDON, 9 JULAI – Manchester City mengukuhkan kedudukan mereka di tempat empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan membelasah Newcastle 5-0, sementara Wolves tersungkur lagi selepas kekalahan 1- 0 menentang Sheffield United.

City kalah buat kali kesembilan dalam liga musim ini semasa menentang Southampton pada perlawanan Ahad lalu walaupun mendominasi perlawanan dan mencipta peluang yang banyak.

Tetapi pasukan Pep Guardiola juga telah menunjukkan kemampuan mereka sejak EPL kembali semula bulan lalu, memenangi keempat-empat perlawanan di Etihad dengan jaringan keseluruhan 17-0.

Gabriel Jesus gagal menemukan jaringan di Stadium St Mary’s, tetapi pemain Brazil itu kembali mendapat keyakinan yang dia perlukan semalam setelah berjaya menjaringkan gol hanya 10 minit perlawanan bermula melalui hantaran David Silva.

Kevin De Bruyne mengejar rekod yang dipegang oleh Thierry Henry setelah mengumpul 20 assist di EPL dalam satu musim apabila berhasil melakukan hantaran buat Riyad Mahrez bagi jaringan kedua City.

Jaringan ketiga City melalui jaringan sendiri oleh Federico Fernandez apabila Matt Ritchie membuat kesilapan ketika cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Silva akan mengakhiri 10 tahunnya bersama City apabila kontraknya berakhir pada bulan Ogos ini dan dia juga berjaya menemukan jaringan keempat buat pasukannya.

Manakala jaringan terakhir City dijaringkan oleh Raheem Sterling melalui hantaran kemas Silva untuk memastikan kemenangan selesa pada minit-minit akhir perlawanan.

City juga akan mengetahui minggu depan mengenai jawapan rayuan kelab terhadap larangan dua musim mereka dari menyertai pertandingan Eropah di Mahkamah Timbang Tara untuk Sukan. – AFP

Reaksi pasukan Manchester City ketika meraikan jaringan gol David Silva semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Manchester City dan Newcastle di Stadium Ethiad, England, semalam. – AFP