Citizens sekadar menang tipis

MANCHESTER, UNITED KINGDOM, 7 APRIL – Pep Guardiola berkata Manchester City ‘merasai tekanan’ selepas jangkaan tinggi dalam Liga Juara-Juara apabila mereka memerlukan gol daripada Phil Foden pada minit ke-90 bagi membawa kelebihan tipis 2-1 saingan pertama suku akhir menentang Borussia Dortmund di sini, sebentar tadi.

City kini menang 27 daripada 28 perlawanan terakhir semua kejohanan bagi terus kekal memburu empat kejuaraan membabitkan Liga Juara-Juara, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Liga.

Namun mereka gagal melepasi kelompok lapan terakhir pada saingan Liga Juara-Juara dalam empat musim dikendalikan Guardiola.

“Kami merasai tekanan itu hari ini, dalam kejohanan ini, di laman sendiri, tidak tahu bagaimana kami perlu melaluinya,” kata Guardiola. “Adalah lebih baik menang berbanding seri, tapi walaupun 1-1 kami perlu 90 minit untuk melakukannya.”

Kedua-dua pasukan perlu bertemu sekali lagi di Jerman pada 14 April dengan juara akan berdepan sama ada Bayern Munich atau Paris Saint-Germain dalam saingan empat terakhir.

Dortmund berdepan risiko tersingkir daripada Liga Juara-Juara musim depan apabila mencicirkan tujuh mata daripada kelompok empat teratas Bundesliga.

Bagaimanapun pelawat bermula baik sehingga Emre Can memberikan bola kepada Riyad Mahrez dan City terus melancarkan serangan balas pantas. De Bruyne, Foden dan Mahrez bertukar hantaran sebelum pemain Belgium itu meledak dari jarak dekat.

City merasakan mereka ada peluang terbaik menggandakan gol sejurus selepas itu apabila Rodrigo dijatuhkan Can dalam kotak penalti dan pengadil Ovidiu Hategan menunjukkan ke arah penalti.

Hategan bagaimanapun menukarnya selepas melihat rakaman pengadil bantuan video (VAR). – AFP

Reaksi penjaga gol Dortmund, Marwin Hitz selepas gagal menangkap bola hasil jaringan Kevin De Bruyne semasa perlawanan antara Manchester City dan Borussia Dortmund di Stadium Etihad, Manchester, kelmarin. – AP