LONDON, 23 DIS – Manchester City menambah tekanan ke atas Mikel Arteta apabila penyandang juara Piala Liga itu mara ke separuh akhir selepas menundukkan Arsenal 4-1.
Ia adalah kekalahan keempat Arsenal dalam enam perlawanan terakhir mereka di dalam semua pertandingan.
Gabriel Jesus hanya memerlukan tiga minit untuk meletakkan City di depan dalam aksi suku akhir di Stadium Emirates itu.
Alexandre Lacazette menyamakan kedudukan, tetapi Arsenal gagal menghalang anak buah Pep Guardiola daripada terus membolosi gawang mereka.
Penjaga gol simpanan Arsenal Alexs Runarsson melakukan kesilapan dengan membiarkan sepakan percuma Riyad Mahrez melepasinya.

Phil Foden dan Aymeric Laporte turut menemui sasaran untuk terus menambah tekanan ke atas Arsenal.
“Ia sukar ditelan jika diambil kira perjalanan perlawanan ini. Lawan sebegini, jika anda memberikan mereka gol mudah, ia menjadikan permainan ini sukar.
“Banyak perkara pelik berlaku dalam setiap perlawanan dan ia menjadikannya lebih sukar.
“Runarsson tidak banyak bermain untuk kami. Kita semua melakukan kesilapan dan perlu menyokongnya,” kata Arteta yang kedudukannya sebagai pengendali mula dipersoal.
Guardiola bagaimanapun mempertahankan Arteta – bekas penolongnya di City dengan berkata: “Dia pengurus yang hebat. Saya tahu cadangannya dan apa yang dia akan lakukan.
“Keputusan buruk tidak akan mengubah pendapat saya.”
Dalam satu lagi aksi suku akhir, kelab Liga Kejuaraan Brentford, mengejutkan pasukan Liga Perdana Newcastle 1-0 hasil jaringan Josh Dasilva.
Skuad kendalian Thomas Frank itu sudah menyingkirkan West Bromwich Albion, Southampton dan Fulham dalam laluan mereka ke suku akhir. – AFP






























