Citizens terus gah di puncak liga

MANCHESTER, 3 MAC – Manchester City menyamai rekod kelab 28 perlawanan tanpa kalah selepas menewaskan Wolves 4-1 dan melebarkan jurang di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada 15 mata.

Pep Guardiola merombak skuadnya di Etihad menentang lawan yang menewaskan mereka dua kali dalam aksi liga musim lalu.

Calon juara itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras selepas Conor Coady memadamkan kelebihan City yang mendahului hasil gol sendiri Leander Dendoncker di awal permainan.
Dua gol lewat permainan jaringan Gabriel Jesus dan Riyad Mahrez memastikan tiga mata buat skuad Guardiola.

Sebanyak 28 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan diharungi City musim ini menyamai rekod mereka pada tahun 2017 dan gelaran ketiga EPL dalam tempoh empat tahun semakin menjadi kenyataan.

Kemenangan ke atas Wolves itu adalah yang ke-21 berturut-turut dalam semua pertandingan dan ke-15 saingan EPL.

Aksi Gabriel Jesus semasa menjaringkan gol buat pasukannya pada perlawanan menentang Wolves di Stadium Etihad, Manchester, kelmarin. – AP

City juga langsung tidak ketinggalan dalam 19 perlawanan liga terakhir mereka – menyamai rekod Arsenal pada musim 1998-99.

Pep Guardiola memuji prestasi luar biasa pasukannya namun fokusnya lebih terarah kepada perlawanan selepas ini, menentang seteru setempat, Manchester United iaitu pencabar paling dekat mereka untuk merebut mahkota Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Selepas 1-1 kami bergelut tetapi kami mencipta banyak peluang di akhir permainan. Manchester United.

“Itu saja tumpuan kami sekarang. Juara adalah Liverpool, mahkota milik mereka. Kami di posisi terbaik untuk merampasnya.

“Masih ada 33 mata untuk dikejar. Esok lawan kami akan beraksi, kami mempunyai sehari atau dua untuk rehat dan kemudian bersiap untuk melayan kunjungan Manchester United,” kata Guardiola.