Citizens terus tekan Reds

LONDON, 29 SEPT – Manchester City terus memberi tekanan ke atas pendahulu Liga Perdana, Liverpool, dengan kemenangan sukar ke atas Everton awal pagi tadi selepas menyaksikan skuad kendalian Jurgen Klopp meneruskan permulaan sempurna mereka musim ini.

Dalam perkembangan lain, Tottenham yang bermain 10 orang melupakan kekecewaan mereka sebelum untuk melonjak naik ke kedudukan empat teratas dengan kemenangan 2-1 ke atas Southampton, sementara Chelsea meraih kemenangan pertama liga di laman sendiri bawah kendalian Frank Lampard dengan keputusan 2-0.

Dalam perlawanan awal, Liverpool memenangi perlawanan ketujuh mereka hasil jaringan tunggal menerusi Georginio Wijnaldum dalam kemenangan 1-0 di Sheffield United.

Juara Eropah itu kelihatan agak tumpul menentang Sheffield sehingga rembatan Wijnaldum berjaya menewaskan penjaga gol Sheffield, Dean Henderson, ketika perlawanan berbaki 20 minit.

City berada di bawah tekaan besar untuk memberikan respons sebelum sepak mula di Goodison Park dan berjaya meraih pendahuluan menerusi Gabriel Jesus di separuh masa pertama.

Namun Dominic Calvert-Lewin berjaya menyamakan kedudukan sebelum City kembali di depan menerusi sepakan percuma Riyad Mahrez dan jaringan lewat Raheem Sterling bagi mengesahkan kemenangan 3-1.

Dalam perlawanan lain, Wolves meraih kemenangan pertamanya musim ini apabila menang 2-0 ke atas Watford, sementara Crystal Palace menang selesa 2-0 ke atas Norwich.

Aston Villa mendahului perlawanan sebanyak dua kali ke atas Burnley namun akhirnya terpaksa akur apabila seri 2-2. – AFP

Gabriel Jesus (tengah) meraikan jaringan pertama City ke atas Everton. – AP