Citizens, The Reds terus mantap

LONDON, 25 SEPT – Phile Foden muncul wira Manchester City apabila meledak gol kemenangan bagi mengatasi Bournemouth 2-1 dan mara ke pusingan keempat Piala Liga manakala Liverpool berpesta gol dengan menewaskan Lincoln 7-2, awal pagi tadi.

City tampil sebagai juara bertahan dan sudah memenangi saingan itu sejak tiga tahun lalu tetapi pengurus, Pep Guardiola mengakui dia terpaksa menyenaraikan pemain muda bagi memberi keutamaan terhadap kempen Liga Perdana Inggeris susulan persiapan pra musim yang singkat dan beberapa pemain disahkan positif COVID-19.

Liam Delap iaitu anak kepada bekas pemain tengah Stoke City, Rory Delap hanya memerlukan 18 minit bagi menjaringkan gol dalam penampilan pertamanya bersama skuad utama selepas mendapat hantaran daripada Foden.

“Dia adalah penyerang yang berbeza daripada apa yang kami miliki dari aspek fizikal. Kami dapat lihat ketika latihan, dia mempunyai sentuhan penyudah yang sangat baik,” kata Guardiola mengulas mengenai pemain berusia 17 tahun itu.

Bagaimanapun, jaringan pendahuluan itu hanya bertahan selama empat minit apabila pemain Bournemouth, Sam Sturridge berjaya menjaringkan gol penyamaan.

Aksi Curtis ketika menjaringkan gol ketiga buat pasukannya pada perlawanan menentang Lincoln City di England, awal pagi kelmarin. – AP

Guardiola memasukkan dua bintang utamanya, Kevin de Bruye dan Raheem Sterling pada babak kedua perlawanan tetapi Foden menjadi wira apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-75.

Anak buah Guardiola akan berkunjung ke Burnley untuk aksi pusingan 16 terbaik.

Sementara itu, Liverpool akan berdepan Arsenal sebanyak dua kali di Anfield dalam tempoh tiga hari ini, minggu depan selepas anak buah Jurgen Klopp menewaskan Lincoln dengan Takumi Minamino dan Curtis meledak dua gol.

“Semua pemain menggunakan peluang malam ini bagi membuktikan kemampuan masing-masing. Itu sangat penting.

“Kita dapat lihat siapa yang menunjukkan kesungguhan malam ini dan banyak perkara yang saya suka, kita dapat lihat malam ini. Hanya dengan itu, anda akan mendapat peluang beraksi dalam banyak perlawanan musim ini,” kata Klopp. – AFP