Citizens, United mara ke suku akhir Piala EFL

LONDON, 1 OKT – Pep Guardiola mengakui amat penting untuk menjaga gawang dari dibolosi ketika juara bertahan Piala Liga (EFL), Manchester City kembali dengan kemenangan 3-0 menentang Burnley, sementara Manchester United juga menyertai mereka untuk mara ke suku akhir Piala Liga setelah berjaya menewaskan Brighton 3-0 semalam.

Pasukan Guardiola mengalami kekalahan teruk di Liga Perdana Inggeris (EPL) pada perlawanan Ahad lalu ketika menentang Leicester, yang merupakan kekalahan memalukan 5-2 untuk City.

Persembahan yang hebat dari Raheem Sterling di Stadium Turf Moor memastikan mereka melupakan rasa pahit dari kekalahan itu dan penyerang Sepanyol, Ferran Torres, yang baharu sahaja menandatangani untuk menyertai City dari Valencia, berjaya menemukan gol ketiga buat City sebagai gol pertamanya untuk kelab.

“Adalah penting kami tidak dibolosi dan pasukan bermain cukup baik pada umumnya,” kata Guardiola.

“Apabila anda kalah dalam perlawanan, yang paling penting untuk diberi tumpuan ialah perlawanan berikutnya, kerana jika anda kalah dalam perlawanan ini, anda akan keluar.

Aksi Raheem Sterling ketika mengawal bola di perlawanan pusingan keempat Piala EFL antara Burnley dan Manchester City di Stadium Turf Moor, Burnley, England, semalam. – AP

“Kami masih jauh dari keputusan terbaik kerana kami tidak banyak berlatih. Kami mempunyai banyak pemain yang tidak dapat beraksi, enam daripadanya telah dijangkiti COVID-19 dan empat lagi mengalami kecederaan.

“Tetapi selangkah demi selangkah apabila kami memiliki skuad penuh, kami akan menjadi lebih baik.

Kami berada di suku akhir pertandingan ini sekali lagi, jadi ia cukup bagus.”

City telah menjuarai Piala Liga sebanyak empat kali dalam lima musim terakhir dan mereka tetap bertahan untuk mengekalkan trofi.

Pasukan Guardiola boleh menjaringkan gol lebih banyak tetapi penjaga gol Burnley, Bailey Peacock-Farrell mempamerkan persembahan yang cukup bagus.

Sterling dan Kevin De Bruyne kedua-duanya bermula sebagai pemain untuk City yang kuat yang juga termasuk Riyad Mahrez serta pemain tengah berusia 18 tahun Cole Palmer.

Sterling menjaringkan gol di minit ke-10 dengan rembatan kencang dari hantaran Benjamin Mendy.

Penyerang City itu menjaringkan gol kedua di minit ke-49, melalui hantaran baik dari De Bruyne.

City menambah lagi jaringan pada minit ke-65 melalui jaringan Torres yang berusia 20 tahun. – AFP