City belasah Burton

MANCHESTER, United Kingdom, 10 Jan – Juara Manchester City bersedia mempertahankan Piala Liga dalam perlawanan akhir yang akan diadakan bulan depan di Wembley, apabila menyaksikan Gabriel Jesus menjaringkan empat gol menumpaskan Burton Albion 9-0 pada aksi pertama separuh akhir.

Kevin de Bruyne, Oleksandr Zinchenko, Phil Foden, Kyle Walker dan Riyad Mahrez juga dalam sasaran ketika bertemu pasukan dari League One kendalian Nigel Clough untuk memastikan kunjungan City ke Stadium Pirelli pada 23 Januari depan sekadar formaliti.

“Sudah tentu kami bersedia dalam perlawanan akhir. Kami perlu beraksi dalam perlawanan kedua dan melihatnya dengan serius. Gembira untuk mara ke perlawanan akhir sekali lagi,” kata bos City, Pep Guardiola.

“Ia bukan mudah untuk beraksi dalam perlawanan seperti ini. Kami bercakap (sebelum perlawanan) untuk melihatnya secara serius, kami bermula dengan baik.”

Selepas membenam Rotherdham 7-0 dalam Piala FA pada Ahad lalu dengan melakukan banyak pertukaran, Guardiola sekali lagi merehatkan beberapa orang pemain utamanya tetapi menurunkan barisan kuat bersama De Bruyne untuk meneruskan aksi selepas kembali dari kecederaan.

Kyle Walker (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan yang lain selepas menjaringkan gol kelapan menentang Burton Albion di Stadium Etihad, Manchester, kelmarin. – AFP

Pemain dari Belgium itu menetapkan nada bagi malam perlawanan itu dengan memastikan City mendahului pada minit kelima, apabila membuat larian ke dalam kotak penalti untuk menanduk masuk hantaran lintang David Silva.

Clough mengaku sebelum perlawanan bahawa ia memerlukan ‘keajaiban’ untuk Burton menyaingi juara Liga Perdana itu dalam dua perlawanan.

“Kami memang menjangkakannya memandangkan jurang kelas di antara pasukan, kami sebenarnya merasa takut ia akan lebih lagi,” kata Cloguh, pemenang Piala Liga dua kali sebagai seorang pemain ketika berada di bawah kendalian ayahnya, Brian Clough di Nottingham Forest.

“Kami melakar sejarah dengan kelab mula mara ke empat pasukan terakhir persaingan merebut Piala.

“Setelah kami melihat tiga pasukan (dalam separuh akhir) ia selalu akan menjadi masalah.” – AFP