MANCHESTER, 7 OKT – Pep Guardiola (gambar bawah) mengakui Manchester City mesti bangkit selepas kalah mengejut 0-2 di tangan Wolves meninggalkan juara Liga Perdana itu lapan mata di belakang pendahulu Liverpool.
Dua gol lewat daripada pemain sayap Wolves, Adama Traore lewat malam tadi mencetus kekalahan pertama City di Stadium Etihad sejak Disember lalu. Dengan 16 mata daripada lapan perlawanan, ia permulaan terburuk City bagi kempen liga dalam tempoh enam tahun.
Mereka ketinggalan jauh di belakang Liverpool selepas Wolves menyertai Norwich sebagai pemenang tidak diduga menentang Manchester City musim ini. Sebaliknya, Liverpool menikmati rekod 100 peratus di puncak carta Liga Perdana selepas menang lapan aksi berturut-turut.
Guardiola tidak mempunyai alasan susulan persembahan buruk City dan beliau cuba untuk tidak memikirkan mengenai kelebihan dimiliki Liverpool ketika ini. – AFP



































