City, Leicester ke suku akhir Piala FA

LONDON, 5 MAC – Manchester City telah memenangi 20 perlawanan berturut-turut di Piala FA selepas berjaya mara ke suku akhir kejohanan dengan kemenangan 1-0 menentang Sheffield Wednesday.

Sergio Aguero menjaringkan satu-satunya gol tunggal lapan minit selepas bermulanya babak kedua perlawanan apabila penjaga gol, Joe Joe Wildsmith gagal melakukan tangkapan kemas menampan bola percubaan Aguero.

Jaringan Aguero adalah ganjaran untuk pemain Pep Guardiola yang terus menguasai perlawanan, City menurunkan pasukan yang kuat menentang pasukan dari Liga Kejuaraan itu.

Riyad Mahrez dan Gabriel Jesus telah banyak mensia-siakan peluang di babak pertama perlawanan, manakala percubaan daripada Nicolas Otamendi dan Benjamin Mendy terkena palang sebelum Aguero melakukan jaringan kemenangan.

Walaupun mereka gagal menambah jaringan, City tidak pernah mengalami kesukaran untuk mara ke pusingan lapan terakhir dan mengekalkan harapan untuk memenangi piala kejuaraan ketiga mereka musim ini selepas menjuarai Piala Liga berturut-turut baru-baru ini dan mengalahkan Real Madrid 2-1 di pusingan pertama Liga Juara-Juara peringkat 16 akhir.

Leicester turut menempah tempat ke suku akhir setelah menang 1-0 ke atas Birmingham menerusi jaringan tandukan Ricardo Pereira.

The Foxes telah memenangi hanya satu daripada tujuh perlawanan Liga Perdana mereka dalam usaha Leicester untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan.

Pasukan Brendan Rodgers sekali lagi beraksi tanpa pemain penjaring terbanyak mereka, Jamie Vardy kerana kecederaan dan memerlukan pemain pertahanan kanan mereka, Ricardo untuk membantu meraih gol pada minit-minit terakhir perlawanan. – AFP

Reaksi Sergio Aguero ketika meraikan jaringannya semasa perlawanan bola sepak pusingan ke-5 Piala FA antara Sheffield Wednesday dan Manchester City di Hillsborough di Sheffield, England, kelmarin. – AP