City lepasi ujian Dinamo

MANCHESTER, 2 OKT – Raheem Sterling dan Phil Foden diturunkan dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol ketika Manchester City menghampiri fasa 16 terakhir Liga Juara-Juara dengan mengalahkan Dinamo Zagreb 2-0 di Stadium Etihad, pagi tadi.

City menikmati 71 peratus penguasaan dengan 19 percubaan tetapi terpaksa menunggu sehingga 24 minit sebelum tamat untuk mengakhiri kebuntuan selepas Sterling membuat gerakan cemerlang.

Pemain antarabangsa England itu kemudian memberikan umpanan kepada Foden untuk memastikan City mendapat tiga mata penuh pada saat akhir permainan ketika skuad Pep Guardiola mengukuhkan cengkaman di Kumpulan C.

Juara bertahan Inggeris mengutip mata maksimum selepas dua perlawanan pembukaan dengan kemenangan berturut-turut sebelum menentang Atalanta di bawah kumpulan itu.

Menjelang aksi semalam, Guardiola menyeru penyokong untuk memberikan sokongan kepada skuad jika pasukan beliau berjaya mengubah dominasi domestik untuk menakluk Eropah musim ini.

Etihad tidak penuh tetapi kehadiran masih jauh lebih banyak berbanding daripada apa yang dihadapi ketika kalah mengejut kepada Lyon pada aksi pertama Liga Juara-Juara musim lepas.

Penyokong yang datang tidak pernah untuk mengimpikan pesta gol walaupun tuan rumah menundukkan pasukan Croatia tanpa sentuhan klinikal untuk mengesahkan kehebatan mereka.

Sergio Aguero mempunyai peluang pertama di depan pintu gol tetapi Dominik Livakovic bangkit dengan baik menyekat usaha penjaring gol sepanjang masa City itu untuk menyumbat gol.

Bernardo Silva dipanggil semula ke dalam barisan kesebelasan dengan Kevin de Bruyne diketepikan akibat kecederaan pangkal paha dan Sterling pula direhatkan. – AFP

Foden (kiri) menjaringkan gol kedua City semasa menentang Dinamo Zagreb di Stadium Etihad, kelmarin. – AFP