City mahu bolot semua trofi – Bruyne

LONDON, 23 SEPT – Kevin De Bruyne berkata Manchester City mahu membuktikan keunggulan mereka dengan memenangi kesemua empat trofi utama musim ini.

City menamatkan saingan musim lalu dengan ketinggalan 18 mata di belakang Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tersingkir di suku akhir Liga Juara-Juara kepada Lyon. Mereka turut tewas pada separuh akhir Piala FA di tangan Arsenal dan hanya kemenangan pada final Piala Liga bertemu Aston Villa menceriakan skuad kendalian Pep Guardiola.

Namun City mahu memastikan musim ini kesilapan itu diperbaiki dan pemain tengah Belgium De Bruyne menegaskan, matlamat baharu sudah ditetapkan termasuk menyapu bersih EPL, Liga Juara-Juara, Piala FA dan Piala Liga.

“Saya rasa motivasi tidak berubah jika anda menang atau kalah.

“Apabila memulakan musim baharu, anda mahu menang sebanyak mungkin dan kami mahu memenangi kesemuanya.

“Bagi kami, kesemua empat trofi menjadi sasaran, itu mentaliti kami. Kami bekerja keras untuk perlawanan ini dan sedar ia amat sukar,” kata De Bruyne selepas kemenangan 3-1 City di Wolves Isnin lalu. – AFP

Aksi De Bruyne (kanan) ketika merebut bola dengan pemain Wolves pada perlawanan di Stadium Molineux 21 September lalu. De Bruyne berkata City mahu membuktikan keunggulan mereka dengan memenangi kesemua empat trofi utama musim ini. – AP