City mungkin digantung

NEW YORK, 14 Mei – Pengawal selia kewangan bola sepak Eropah bersedia untuk mencadangkan juara Liga Perdana yang baharu dimahkotakan, Manchester City, untuk diharamkan dari Liga Juara-Juara, menurut laporan New York Times.

Badan pentadbir bola sepak Eropah, UEFA, dan Liga Perdana telah melancarkan satu siasatan tahun ini selepas dakwaan telah dibuat dalam majalah Jerman, Der Spiegel bahawa kelab itu telah melanggar peraturan Financial Fair Play.

Ahli-ahli daripada dewan penyiasatan lembaga kawalan kewangan UEFA, yang ditubuhkan bagi menganalisa akuan-akaun kelab yang disyaki melanggar peraturan itu, bertemu dua minggu lalu di Switzerland bagi memuktamadkan kesimpulan mereka, menurut akhbar itu.

“Ketua panel siasatan, bekas perdana menteri Belgium Yves Leterme, akan memberikan kata putus mengenai perkara itu. Badan tersebut dijangka meminta bagi sekurang-kurangnya satu musim penggantungan,” jelas Times.

Ia masih belum jelas sama ada penggantungan itu, jika benar, akan dikuatkuasakan musim depan atau kempen 2020-2021, menurut Times, dengan mengambil maklum bahawa kelayakan bagi kejohanan mewah dan berprestij kelab itu dijangka bermula pada Jun, jadi masa agak suntuk bagi memuktamadkan satu penggantungan.

Manchester City juga mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara untuk Sukan.

Juara Inggeris itu secara berterusan menafikan mana-mana pelanggaran peraturan kewangan, dengan berkata mereka mengalu-alukan siasatan UEFA sebagai peluang untuk membersihkan nama mereka. – AFP

Reaksi Pep Guardiola semasa perlawanan Liga Perdana menentang Leicester City baru-baru ini. – AP