City sambar Torres dari Valencia

LONDON, 5 OGOS – Manchester  City telah mengumumkan pembelian  terbaharu pemain sayap dari Valencia,  Ferran Torres, yang mengikat perjanjian  selama lima tahun, ketika Pep Guardiola  dilihat cuba untuk menguatkan jentera serangannya.

Pemain kelahiran Sepanyol berusia 20 tahun itu merupakan pembelian pertama City dalam jendela perpindahan musim panas, telah menandatangani perjanjian selama lima tahun dan dilaporkan dibayar sebanyak 20.9 juta pound.

“Saya sangat gembira untuk menyertai City,” Torres memberitahu laman web Liga Perdana Inggeris.

“Setiap pemain mahu terlibat dalam pasukan yang sentiasa menyerang dan Manchester City adalah salah sebuah pasukan yang paling gemar menyerang dalam dunia bola sepak.

“Pep menggalakkan untuk membuka permainan, gaya permainan yang agresif, yang mana saya menggemarinya, dan dia merupakan seorang pengurus yang sudah terbukti boleh mencungkil bakat pemain. Saya sangat berbangga kerana dia telah mengesan perkembangan saya.”

Manchester City telah menyambar khidmat pemain sayap Valencia, Ferran Torres dengan yuran perpindahan sebanyak 20.9 juta pound. – AP

Guardiola dilihat akan menguatkan skuadnya selepas terlepas kejuaraan Liga Perdana Inggeris kepada Liverpool – mereka turut bersetuju dengan yuran perpindahan sebanyak 41 juta pound untuk pemain pertahanan Bournemouth, Nathan Ake.

“Kami telah mengikuti perkembangan Ferran dengan lebih dekat dan ia sangat mengagumkan,” kata pengarah bola sepak, Txiki Begiristain.

“Dia masih muda dan masih berkembang, tetapi kualiti teknikal dimilikinya adalah apa yang kami cari sebagai pemain sayap. Dia pantas, menyerang secara langsung, boleh mencipta ruang dengan satu gerakan dan mampu menghasilkan momen untuk memenangi perlawanan.”

Torres boleh bermain di kedua-dua bahagian sayap dan boleh diturunkan di bahagian tengah, dengan kepantasan dan kebolehan untuk menewaskan lawan adalah merupakan kebolehannya.

Dia telah membuat 44 penampilan bersama Valencia musim lalu dan menjaringkan enam gol. – AFP