City sambung kontrak Silva

LONDON, 14 Mac – Prestasi cemerlang pemain tengah Manchester City, Bernardo Silva musim ini menyaksikannya dilanjutkan kontrak baharu selama enam tahun di Etihad, semalam.

Perancang Portugal itu boleh dianggap sebagai pemain terbaik juara Inggeris itu musim ini selepas meledak sembilan gol dalam 40 perlawanan.

“Suatu penghormatan untuk melanjutkan perjanjian saya dengan Manchester City,” kata Silva. “Kelab ini menawarkan segala-gala yang pemain perlukan untuk memenuhi keinginan mereka dan tiada tempat lain saya mahu berada.

“Sejurus saya mendengar City mahu saya berada di sini lebih lama, saya telah membuat ketetapan. Saya menggemari kelab ini, pengurus, pemain-pemain dan juga peminat.

“Corak permainan bola sepak di sini juga turut mengujakan saya dan saya bertekad untuk memenangi lebih banyak trofi. City memberikan saya peluang terbaik untuk melakukannya.”

Silva sudah memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris dan dua kali menjulang trofi Piala Liga sejak tiba ke Etihad dari Monaco dengan nilai dikhabarkan AS$56 juta pada 2017.

Dipercayai lebih ramai pemain akan mengikuti jejak pemain berusia 27 tahun itu yang turut meledak gol ketika membantu City membelasah Schalke 7-0 semalam dan mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

Skuad kendalian Pep Guardiola kini dalam laluan untuk memburu tiga trofi pada musim ini selepas menyaksikan City menerajui Liga Pedana dengan kelebihan satu mara berbanding Liverpool dan berdepan Swansea dalam saingan suku akhir Piala FA yang berlangsung Sabtu ini.

“Di bawah pengurusan Pep dan kakitangan kelab, kami menjangkakan dia akan mmenajdi salah seorang pemain terbaik dunia dalam tempoh beberapa tahun mendatang,” kata pengarah bola sepak City, Txiki Begiristain. – AFP

Silva menjaringkan gol kelima City dalam perlawanan menentang Schalke 04 baru-baru ini. Silva dianugerahkan kontrak baharu selama enam tahun di Etihad kelmarin. – AP