City terlepas ujian Watford

LONDON, 5 Dis – Pep Guardiola menggesa pasukan kendaliannya, Manchester City untuk belajar daripada penghujung perlawanan yang tegang bagi meraih kemenangan ketujuh Liga Perdana dengan keputusan 2-1 di Watford, melebarkan jurang kepada lima mata ke atas Liverpool di puncak liga.

Gol-gol City hadir di setiap separuh masa ketika Leroy Sane menggunakan dadanya untuk menjaringkan gol sebelum Riyad Mahrez menggandakan kelebihan pasukan pelawat di awal separuh masa kedua.

Bagaimanapun, di sebalik dominasi di sepanjang perlawanan, skuad Guardiola terpaksa bertahan daripada penamat tegang selepas Abdoulaye Doucoure meraih gol pertama pasukan tuan rumah ketika perlawanan berbaki lima minit.

“Kami memikirkan bahawa dalam minit-minit akhir apa sahaja boleh berlaku,” kata Guardiola. “Saya fikir kami bermain 65-70 minit perlawanan di tahap tertinggi.

“Selepas 0-2, kami mula hilang kawalan ke atas bola. Kami menderita, namun itu yang terjadi. Kami perlu belajar daripada apa yang berlaku dalam 20-25 terakhir.”

Mahrez (tengah) dikepung oleh pemain Watford dalam saingan Liga Perdana kelmarin. – AP

Guardiola membuat enam perubahan pada kesebelasan utamanya di mana Sergio Aguero dan Kevin De Bruyne masih cedera.

Namun, City masih terlalu kuat buat Watford, yang perlu berterima kasih kepada penjaga gol Ben Foster kerana menghalang City daripada meraih jaringan lebih besar seperti yang mereka lakukan dalam dua kunjungan sebelum ini ke Vicarage Road.

Bagaimanapun, skuad kendalian Javi Gracia juga mempunyai peluang sebelum rehat, di mana pertahanan City kelihatannya merasakan ketiadaan Aymeric Laporte kerana pemain Perancis itu digilirkan buat pertama kali musim ini.

“Ia adalah perlawanan Liga Perdana yang klasik, apabila mereka sudah menjaringkan gol, hantaran jauh mula datang, mereka sangat fizikal di bahagian serangan,” kata kapten City, Vincent Kompany.

“Kami mengawal perlawanan dengan sangat baik. Anda tidak boleh memenangi setiap perlawanan dengan bola sepak fantasi.” – AFP