MANCHESTER, 8 Mac – Manchester City berharap pertemuan dengan Watford esok akan memberikan dorongan buat mereka dalam menyaingi Liverpool dalam mempertahankan gelaran Liga Perdana musim ini.
Pengurus City, Pep Guardiola menyaksikan kemerosotan pasukannya dalam jentera serangan kebelakangan ini meskipun berjaya mengatasi Liverpool dan kembali ke kedudukan teratas liga.
Tiga perlawanan City menyaksikan mereka hanya menjaringkan dua gol termasuk keputusan tanpa jaringan di final Piala Liga bertemu Chelsea sedangkan mereka menewaskan kelab itu 6-0 dua minggu sebelumnya.
Guardiola juga berdepan dengan senarai kecederaan pemainnya yang semakin bertambah termasuk kecederaan Kevin De Bruyne selepas kejayaan minggu lalu di Bournemouth.
Pemain tengah Belgium itu mengalami kecederaan hamstring pada awal babak kedua dan Guardiola kemudian mengesahkan beliau terpaksa diketepikan untuk beberapa perlawanan.

Kecederaan De Bruyne itu menambah kekecewaannya yang beraksi penuh dalam 36 daripada 38 perlawanan liga pada musim lalu.
Dengan jadual City yang semakin padat apabila mereka bersaing dalam perebutan empat trofi, kecederaan De Bruyne bersama pemain lain seperti Fernandinho dan Aymeric Laporte pasti memberi kesan ke atas kempen mereka musim ini.
De Bruyne awal ini bulan pernah menyatakan bahawa kecederaannya itu telah menjejaskannya.
“Kadang kala saya rasa bagus, kadang kala saya rasa sedikit teruk, saya perlukan lebih lama untuk pulih,” kata De Bruyne.
“Saya memang mahu untuk menjadi lebih baik. Tetapi ada masanya badan saya seperti mengatakan ‘tidak’ dan saya perlu menerimanya.” – AFP

































