LONDON, 21 Feb – Pengadil Liga Perdana, Mark Clattenburg (gambar) akan terus menjadi pengadil dalam liga teratas Inggeris sebelum mengambil alih jawatan barunya di Arab Saudi.
Clattenburg telah mengumumkan keputusannya minggu lepas untuk menjadi ketua pengadil-pengadil di Arab Saudi.
Ia telah dijangka bahawa Clattenburg mungkin akan meninggalkan Liga Perdana dengan segera berikutan keputusannya untuk berhenti.
Tetapi dia akan kekal bekerja bagi sekurang-kurangnya baki kempen ini, menurut beberapa laporan.
Liga Perdana telah melantik Clattenburg untuk mengendalikan perlawanan hujung minggu ini antara West Bromwich Albion dan Bournemouth di Hawkthorns.
Ia juga difahami bahawa komitmen yang berkaitan dengan peranan barunya di Arab Saudi, serta hakikatnya bahawa dia tidak akan lagi mengendalikan perlawanan di England musim depan, mungkin mengehadkan jumlah perlawanan yang diberikan kepada Clattenburg sebelum penghujung musim.
Pengadil berusia 41 tahun itu dianggap sebagai antara pengadil terbaik dalam bola sepak Inggeris selepas mengendalikan perlawanan akhir Euro 2016, perlawanan akhir Liga Juara-Juara dan perlawanan akhir Piala FA musim lepas.
Clattenburg akan menggantikan bekas pengadil Liga Perdana di Arab Saudi.
Howard Webb meletak jawatannya sebagai ketua pengadil-pengadil di sana awal bulan ini, dan akan mengambil peranan dengan Major League Soccer bulan depan. – AFP