Claudio Renieri kembali ke EPL

LONDON, 5 OKT – Claudio Ranieri kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dilantik menjadi pengurus baharu Watford hari ini.

Bekas pengurus Chelsea, Ranieri yang pernah membawa Leicester merangkul gelaran EPL pada 2016 mengikat kontrak dua tahun dengan Hornets yang telah memecat Xisco Munoz.

“Watford FC mengesahkan pelantikan Claudio Ranieri sebagai ketua jurulatih baharu kelab dengan kontrak dua tahun,” menurut kenyataan laman web kelab.

“Pengurus kelahiran Itali itu tiba di Vicarage Road membawa bersama pengalaman luas selepas mengendalikan beberapa kelab besar Eropah dengan gelaran EPL, Piala Itali dan Piala Raja Sepanyol antara trofi diraih sepanjang karier pengurusannya.”

Ranieri mengambil alih Watford yang kini menduduki tangga ke-15 EPL selepas meraih tujuh mata daripada tujuh aksi pertama musim ini.

Ranieri berusia 69 tahun meninggalkan Sampdoria penghujung musim lalu dan tidak mengendalikan mana-mana pasukan selepas itu.

Xisco pula membawa Watford ke EPL dari Liga Kejuaraan musim lalu tetapi dipecat kelmarin selepas hanya 10 bulan mengendalikan pasukan itu. – AFP

Claudio Ranieri dilantik menjadi pengurus baharu Watford semalam, selepas Hornets memecat Xisco Munoz. – AP